Tuesday, July 28, 2009

“JPM Kampus Kent Yang Unggul”
Oleh: Abdul Nasir Hj. Paisal


Jabatan Pengajian Melayu (JPM) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent terus unggul pada tahun 2009 selaras dengan visinya” JPM Yang Unggul, Memenuhi Aspirasi Pendidikan Negara” dalam meletakkan jabatan itu “Berdiri sama tinggi dan duduk samx a rendah“ dengan jabatan-jabatan lain di institut dari segi penganjuran aktiviti mahupun penglibatan dalam siri kursus pendek berasaskan institut. Dalam tempoh 6 bulan pertama ini, jabatan telah berjaya menganjurkan beberapa aktiviti, antaranya Bengkel Asas Penulisan Pantun Melayu, Program Nilam, Program Teaching School, Pertandingan Anugerah Pensyarah Inovatif, Bengkel Pembinaan Bahan KIA2M, Teknik Penulisan Esei dan Teknik Menjawab Soalan.


Bengkel Asas Penulisan Pantun Melayu yang bertemakan “Melestarikan Budaya Bangsa” telah diadakan oleh Unit Sastera, JPM pada 03 April 2009 di Dewan Hone, dengan kumpulan sasar pelajar-pelajar PPISMP Bahasa Melayu dan pelajar-pelajar PPISMP Pemulihan. Jurulatih Utama bengkel ialah Puan Parida Mamat, Ketua Jabatan Pengajian Melayu dengan dibantu oleh Encik Abdul Nasir Hj. Paisal, Ketua Unit Sastera JPM. Pantun yang merupakan khazanah warisan sastera Melayu perlu dipupuk dan dijaga agar mewangi sepanjang zaman. Pantun tidak sahaja digunakan dalam majlis keraian tetapi juga sesuai diserapkan dalam pelbagai wacana ilmu, misalnya dalam majlis-majlis rasmi. Pantun juga menjadi salah satu bahan puisi yang memenuhi sukatan pelajaran di peringkat rendah hinggalah peringkat pengajian tinggi. Bagaimanapun tidak ramai generasi muda yang mahir dalam menghasilkan pantun dengan memasukkan ciri-ciri dan unsur seni sesebuah pantun Melayu. Menyedari akan hakikat ini JPM IPGM Kampus Kent mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Asas Penulisan Pantun ini. Ini juga merupakan salah satu landasan murni yang dijalankan oleh JPM dalam memacu hala tuju pendidikan dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.


Selain itu, di bawah Unit Bahasa JPM, program Nilam disemarakkan untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar-pelajar institut. Pelancaran Program Nilam peringkat institut telah disempurnakan oleh Puan Zainab Hashim dan Cik Caroline, Penyelaras Program yang bertempat di Bilik Aziz IPGM Kampus Kent pada 04 Februari 2009. Program Nilam ini dianjurkan kepada kelompok sasar iaitu pelajar IPGM Kent yang mengambil subjek Bahasa Melayu khususnya yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Pengajian Melayu. Program ini diadakan untuk memupuk budaya membaca yang baik dalam kalangan guru pelatih. Diharapkan program seperti ini dapat mengubah cara atau tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang dianggarkan cuma mampu membaca sebuah buku dalam setahun. Oleh itu, pelancaran program ini dapat memberi sedikit perubahan ke arah pelajar yang rajin membaca dan mempunyai minda kelas pertama.

Setiap pelajar yang membaca buku dengan banyak atau menepati syarat yang ditetapkan akan diberikan ganjaran yang setimpal. Ini dilakukan untuk memupuk dan menggalakan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Sekurang-kurangnya walaupun tidak berminat untuk membaca tetapi atas dorongan hadiah atau penghargaan secara tidak lagsung ini akan menolak mereka untuk membaca. Secara tidak langsung dalam pembacaan merekan akan mendapat hadiah dan pengetahuan. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa Program Nilam ini mempunyai objektif serampang dua mata. Antara tahap pencapaian yang boleh diberikan ialah tahap jauhari dan tahap rakan pembaca.

Selain itu, guru-guru pelatih juga dapat pendedahan untuk menguruskan program Nilam apabila berada di sekolah nanti. Setelah diterangkan apakah ganjaran ataupun hadiah yang akan diberikan apabila menjadi pembaca terbanyak, maka semakin banyaklah penyertaan. Walaupun pada hakikatnya tujuan utama program Nilam ini adalah untuk menyemai budaya membaca. Memang tidak dapat dinafikan bahawa membaca adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan.



JPM juga terlibat secara langsung dalam Program Teaching School, iaitu program kerjasama antara IPGM Kampus Kent dengan SK. Pekan Tuaran. Program ini dirancang oleh pihak institut untuk membantu pihak sekolah dalam aspek pengajaran dan pembelajaran dengan memberi peluang kepada pensyarah untuk mengajar di bilik-bilik darjah. Selain memberi peluang kepada pensyarah untuk mengaplikasi ilmu yang diajarkan di institut, program ini diharapkan dapat meningkatkan prestasi pelajar-pelajar dalam bidang akademik. Dalam hal ini, pensyarah JPM yang terlibat, iaitu Puan Zainab Hashim yang berpasangan dengan Cik Caroline, Encik Abdul Nasir Hj. Paisal, dan Encik John Gitom telah melaksanakan Teaching School seperti yang diamanahkan. Puan Zainab Hashim yang berpasangan dengan Cik Caroline telah melaksanakan Teaching School pada 24 April 2009 dan 28 April 2009, Encik Abdul Nasir Hj. Paisal pada 05 Mei 2009, dan Encik John Gitom pada 11 Mei 2009 di sekolah yang sama.

JPM juga telah menyahut cabaran institut untuk memperkenalkan suatu inovasi atau idea baru dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Encik Abdul Nasir Hj. Paisal, Pensyarah JPM yang mewakili JPM dalam pertandingan Anugerah Pensyarah Inovatif kategori individu di IPGM Kampus Kent telah dipilih untuk mewakili IPGM Kampus Kent ke pertandingan Anugerah Pensyarah Inovatif IPGM Zon Sabah bagi tahun 2009. Encik Abdul Nasir Hj. Paisal dengan tajuk inovasinya, “Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pantun Melayu” telah berjaya menyandang Naib Johan Anugerah Pensyarah Inovatif kategori individu IPGM Zon Sabah bagi tahun 2009 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM800.00 dan sijil. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Normah binti Gagoh, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dalam “Malam Piombolutan” di Dewan Arked, Keningau bersempena sambutan Hari Guru peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Keningau pada 04 Jun 2009.


JPM juga terlibat secara aktif dalam kerja-kerja penasihatan, motivasi dan siri kursus pendek kepada guru-guru dan pelajar-pelajar di bawah kelolaan institut. Misalnya pada 14 hingga 15 Mei 2009, Cik Caroline David bersama-sama Puan Zainab Hashim telah menjadi urus setia dan penceramah Bengkel Pembinaan Bahan KIA2M di Pejabat Pelajaran Daerah Ranau. Pada 2 hingga 3 Julai 2009, Cik Caroline David bersama-sama Puan Zainab Hashim juga menjadi urus setia dan penceramah “Teknik Penulisan Esei Murid-Murid Tahap Dua UPSR” di Kota Marudu.

Dalam mengendalikan “Kursus Pemantapan Pedagogi KIA2M Merentas Kurikulum”, Encik John Gitom dan Encik Vasuthevan telah dilantik sebagai penceramah dan urus setia kursus di Pejabat Pelajaran Daerah Pitas pada 23 hingga 24 April 2009, Encik Abdul Nasir Hj. Paisal dan En. Vasuthevan di Kota Belud pada 21 hingga 22 Mei 2009, Encik John Gitom dan Encik Vasuthevan di Kudat pada 9 hingga 10 Julai 2009, dan Encik Razali Mohd. Shukor dan Puan Parida Mamat di Dewan Hone untuk guru-guru daerah Tuaran pada 16 hingga 17 Julai 2009.

Selain itu, Encik Abdul Nasir Hj. Paisal, telah diundang untuk memberi ceramah motivasi kepada murid-murid tahun lima, dan murid-murid tahun enam di SK. Serusup, Tuaran pada 01 April 2009 sebagai persediaan mereka menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini. Encik Abdul Nasir Hj. Paisal juga menjadi penceramah kursus “Teknik Menjawab Soalan” kepada guru-guru sekolah rendah daerah Telupid pada 15 Julai 2009.
Sejajar dengan objektif jabatan yang ingin mempertingkatkan pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu melalui kecemerlangan pedagogi, aktiviti kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan dipergiatkan. Malah JPM Kampus Kent berperanan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, dan bahasa komunikasi. Selain itu usaha meningkatkan perkongsian pintar dengan organisasi luar menjadi piagam pelanggan yang utama JPM.

No comments:

Post a Comment