Friday, May 22, 2009

BAHASA

Bahasa merupakan alat berkomunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal. Keupayaan berbahasa dengan baik membolehkan seseorang itu berkomunikasi dengan lebih berkesan lagi.

Kanak-kanak keperluan khas bermasalah pembelajaran memang diakui mengalami masalah dalam bahasa kemahiran berbahasa. Justeru mereka mengalami masalah untuk mengikuti pelajaran dan juga berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka. Guru perlu memahami masalah yang dihadapi pelajarnya supaya ia dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Secara keseluruhan, mata pelajaran ini akan tertumpu kepada strategi dan kaedah pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar-pelajar masalah pembelajaran. Manakala tajuk ini pula akan membincangkan tentang pengenalan bahasa yang meliputi pemerolehan bahasa, komponen bahasa, dan jenis bahasa.

1.1 PENGENALAN BAHASA

Sebagai manusia kita sentiasa menggunakan bahasa untuk berinteraksi sesama sendiri. Kemampuan kita menguasai bahasa akan membolehkan kita menyampaikan pendapat atau perasaan dengan lebih baik lagi. Malah haiwan juga dikatakan mempunyai bentuk ”bahasa” mereka yang tersendiri untuk berkomunikasi sesama mereka.

Kita sering menyebut perkataan ”bahasa”, tapi apakah makna bahasa sebenarnya? Bagaimanakah bahasa itu diperolehi? Apakah yang ada dalam bahasa itu sendiri? Semua ini perlu kita ketahui sekiranya kita mahu menjadi seorang pengguna bahasa yang baik dan cekap.

1.1.1 Pemerolehan Bahasa

1.1.1.1 Definisi Bahasa

Tedapat berbagai-bagai definisi bahasa yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa dan juga linguistik. Di antaranya adalah seperti berikut:

”Bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili sesuatu.” (Reed, C.A., 1994)

”Satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung.” (Simanjuntak, 1978)

”Lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi.” (Bloom, 1988)

Daripada definisi bahasa di atas, jelas bahawa bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari). Menurut Hayakawa (1964), arbitrari bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and that which is symbolized…”

Bagi menjelaskan lagi maksud sewenang-wenang atau arbitarari ini, (Asmah Hj. Omar 1986) menerangkan bahawa unit yang kita tuturkan sebagai “rumah” itu bukanlah benda yang konkrit yang mempunyai bumbung, lantai, dinding, tingkap, dan pintu yang menjadi tempat kita berteduh, tetapi adalah apa yang mewakili benda itu. Dengan itu benda-benda yang konkrit yang mempunyai ciri-ciri yang disebut itu boleh mempunyai lambang-lambang lain. Misalnya bait ( bahasa Arab), house (bahasa Inggeris), het huis (bahasa Belanda), griya (bahasa Jawa halus), dan walay (bahasa Kadazan), dan sebagainya.

1.1.2 Teori Pemerolehan Bahasa

Sebagai seorang guru, adalah penting bagi anda mengetahui bagaimana bahasa diperoleh. Di sini kita hanya akan membincangkan tiga teori utama sahaja iaitu Teori Behavioris atau Mekanis, Teori Mentalis atau Innatis, dan Teori Kognitif.

1.1.2.1 Teori Behavioris

GAMBAR B.F. SKINNER

Teori Behavioris menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F.Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberi adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Di antara ganjaran yang diberikan adalah pujian seperti ”pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain yang boleh merangsang kanak-kanak bercakap.

B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa. Keupayaan bertutur adalah satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behavioris iaitu;

Rangsangan tindak balas

Dalam mempelajari bahasa, persekitaran mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap kanak-kanak. Pengaruh rangsangan persekitaran dalam bentuk bahasa dan bukan bahasa akan membantu kanak-kanak menguasai bahasa dengan lebih cepat. Manakala peneguhan yang diberi akan merangsang kanak-kanak mengulang-ulang percakapannya.


1.1.2.2 Teori Mentalis

(GAMBAR NOAM CHOMSKY)

Teori ini dikemukakan oleh Noam Chomsky (1959) yang mengatakan bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara mentalis. Menurutnya, kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang bersifat universal. Melalui alat ini kanak-kanak berpotensi secara semula jadi untuk mempelajari bahasa apa sahaja

Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device).

Bagi menguatkan teorinya tentang LAD, Chomsky memberikan empat kenyataan iaitu;

i. proses pemerolehan bahasa semua kanak-kanak boleh dikatakan sama;
ii. proses pemerolehan bahasa ini tidak ada kaitannya dengan kecerdasan (anak yang IQ-nya rendah juga juga memperoleh bahasa pada masa dan cara yang hampir sama );
iii. proses pemerolehan bahasa tidak pula dipengaruhi oleh motivasi atau emosi kanak-kanak ; dan
iv. tatabahasa yang dihasilkan oleh semua kanak-kanak boleh dikatakan sama.

Berkaitan dengan keupayaan sejadi (innate) kanak-kanak dalam mempelajari bahasa ibundanya, Chomsky memberikan tiga hujah berikut;

i. wjujudnya unsur-unsur kesejagatan dalam sesuatu bahasa iaitu kesejagatan formal yang terdiri daripada ciri-ciri tatabahasa dan kesejagatan substantif yang berupa kategori-kategori tatabahasa;
ii. bentuk-bentuk ujaran yang didengari kanak-kanak tidak akan diperolehinya tanpa keupayaan sejadi; dan
iii. kanak-kanak boleh menguasai bahasa ibundanya dalam tempoh 4 hingga 5 tahun dan tanpa keupayaan sejadi bahasa itu tidak akan dikuasai.


1.1.2.3 Teori Kognitif

(GAMBAR PIAGET)

Teori Kognitif berlandaskan pandangan Piaget seorang ahli psikologi berbangsa Swiss. Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya. Malah beliau berpendapat bahawa bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya. Untuk memperoleh penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitifnya.

Peringkat pertama dikatakan sebagai peringkat deria-motor iaitu kanak-kanak berumur dalam lingkungan 18 bulan hingga 2 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak membentuk skemata atau struktur kognitif hasil daripada interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan dalam pelbagai bentuk simbolik. Dari umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang. Dalam lingkungan umur 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi konkrit (7 – 12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian, dan persirian. Umur selepas 12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.

1.1.3 Perkembangan Bahasa Kanak-kanak

Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dipengaruhi oleh perkembangan intelek, umur, pengaruh persekitaran, dan juga kematangan alat pertuturan. Apabila sampai pada peringkat umur tertentu kanak-kanak sudah boleh menuturkan perkataan-perkataan, frasa, atau ayat mengikut tahap penguasaan bahasa mereka.

Menurut Marilyn Friend (2005), masa yang paling kritikal dalam perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah peringkat awal kanak-kanak. Beliau telah memberikan beberapa petunjuk penting perkembangan kanak-kanak normal seperti di bawah.


Petunjuk perkembangan bahasa kanak-kanak
________________________________________________________________
Umur Petunjuk perkembangan
________________________________________________________________
1 Mengenal nama
Sudah boleh menyebut dua hingga tiga perkataan tambahan
kepada“mama” dan “papa”
Faham arahan mudah

1-2 Faham perkataan “tidak”/ “no”
Guna sepuluh hingga dua puluh perkataan, termasuk nama
Menggabungkan dua perkataan – “Mak. Makan”
Meniru bunyi binatang yang sudah biasa seperti lembu
Melambai-lambai selamat jalan

2-3 Mengenal anggota badan
Guna dua perkataan dalam frasa negatif - “tak mau”, “no want”
Memahami konsep masa yang mudah - “esok”, “ semalam”
Selesai masalah dengan bercakap, bukanya secara memukul
atau menangis
Menyesuaikan tiga atau empat warna, tahu tentang “kecil” dan “besar”

3-4 Sudah boleh bercerita
Menguasai lebih kurang 1000 patah perkataan
Memahami makna “kelmarin”, “makan tengah hari”
Mula menurut arahan/perminatan –“Letak kasut di luar”

4-5 Menguasai lebih kurang 1,500 patah perkataan
Mengenal pasti segi tiga, bulatan, atau segi empat
Boleh bercakap angan-angan - “saya harap ….”
Banyak menyoal, termasuk “Mengapa…..?”

5-6 Menguasai lebih kurang 2,000 patah perkataan
Memahami hubungan ruang seperti “atas” dan “belakang”
Tahu alamat sendiri
Tahu perkataan antonim mudah seperti “kecil – besar”
Membezakan tangan kanan dan kiri tanpa bantuan
Menggunakan berbagai jenis ayat
________________________________________________________________


Berdasarkan petunjuk-petunjuk penting perkembangan bahasa kanak-kanak normal anda dapat mengetahui kelainan yang dimiliki oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah bahasa.

1.2 Komponen Bahasa

Bagi menguasai kemahiran bahasa dengan baik, anda perlu memahami komponen bahasa secara menyeluruh. Kemahiran menggunakan kesemua komponen bahasa amat penting untuk suatu komunikasi yang berkesan.

Bahasa terdiri daripada beberapa komponen. Istilah-istilah lain yang digunakan selain komponen adalah seperti unsur, elemen, parameter, dan ada juga yang menggunakan istilah aspek. Kesemua ini adalah bertujuan untuk memecahkan bahasa kepada bahagian-bahagian untuk dijelas dan dibincang. Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri.

1.2.1 Bentuk

1.2.1.1 Fonologi

Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Apabila kita menyebut perkataan-perkataan, kita dapat membezakan bunyi di antara perkataan tersebut dan seterusnya pula membezakan maknanya. Misalnya perkataan ”pin” dan ”tin”, perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza.

1.2.1.2 Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat.

Arbak ( ) menjelaskan bahawa morfem bebas (kata akar) adalah morfem yang tanpa bantuan dari morfem lain sudah dapat berdiri sebagai perkataan. Manakala morfem terikat (imbuhan) pula adalah morfem yang hanya memberi erti setelah diimbuhkan dengan morfem lain. Morfem terikat tidak dapat berdiri sebagai perkataan. Misalnya perkataan berlari, ber- adalah morfem terikat dan ia memerlukan lari untuk membentuk perkataan berlari. Di sini lari adalah morfem bebas dan ia boleh berdiri dengan sendiri sebagai perkataan tanpa bantuan morfem lain.

1.2.1.3 Sintaksis atau ayat

Sintaksis adalah unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. Sintaksis juga merupakan satu bentuk pengucapan yang didahului dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi fikiran yang sempurna (Arbak, ).

Aktiviti

Anda boleh membuat bacaan luas tentang morfologi dan ayat dari buku Tatabahasa Dewan terbitan DBP.

1.2.2 Kandungan

Komponen kandungan terdiri daripada semantik (makna) yang merujuk kepada cara perkataan-perkataan digunakan secara bermakna dalam komunikasi. Pada asasnya semantik melibatkan perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau leksikon. Fonem-fonem yang bergabung akan membentuk perkataan, dan perkataan digunakan untuk mewakili benda, konsep, pengalaman dan sebagainya.

1.2.3 Pragmatik (Penggunaan)

Bahasa digunakan atas sebab-sebab yang tertentu yang khusus dan tanpa sebab-sebab ini tidak ada makna kita berbahasa. Jadi kita berbahasa adalah untuk mencapai matlamat komunikasi dan juga fungsi sosial. Aspek bahasa inilah yang dikatakan sebagai pragmatik, dan Bates (1976) mengatakan bahawa pragmatik adalah sebagai peraturan menggunakan bahasa dalam konteks. Manakala Prutting (1982) pula menganggap pragmatik sebagai kecekapan sosial.

Wood (1982) menyatakan bahawa aspek pragmatik bahasa termasuklah:

i. menyampaikan mesej yang dikehendaki secara lisan dan bukan lisan dalam interaksi komunikasi secara memilih kandungan, bentuk, dan gerak badan yang bersesuaian dengan konteks dan situasi,
ii. mengembangkan kemahiran berbahasa untuk perkembangan kemahiran interpersonal, kreativiti, dan pembentukan tingkah laku.

1.3. Jenis Bahasa

Bahasa terdiri daripada bahasa penerimaan (receptive) dan bahasa pelahiran (expressive) yang terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Bahasa penerimaan merupakan keupayaan memahami input komunikasi bahasa sama ada dalam bentuk percakapan ataupun penulisan. Penguasaan bahasa yang tinggi, misalnya mempunyai perbendaharaan kata yang banyak akan memudahkan pemahaman seseorang tentang perkara yang didengar ataupun dibacanya. Sebaliknya, bahasa pelahiran merupakan bentuk bahasa yang dipertuturkan atau ditulis. Bagi kedua-dua jenis bahasa ini, selain perlu mempunyai perbendaharaan kata yang banyak, seseorang itu perlu juga menguasai aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa, bentuk bahasa, semantik, dan juga pragmatik.

Masalah bahasa juga ditunjukkan melalui bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran. Seorang guru yang peka akan dapat mengesan masalah bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran pelajarnya melalui pemerhatian sewaktu aktiviti pembelajaran dalam kelas, aktiviti luar kelas, ketika bermain, dan sebagainya. Berikut adalah beberapa tingkah laku yang menunjukkan kanak-kanak mengalami masalah bahasa penerimaan dan pelahiran.

(GAMBAR ORANG SEDANG BERBUAL /bertengkar/)

Individu yang menghadapi masalah bahasa penerimaan menghadapi masalah memahami percakapan atau bacaan. Mereka akan menunjukkan ciri-ciri tingkah laku seperti berikut;

i. bertindak balas secara tidak konsisten terhadap bunyi atau percakapan
ii. mempunyai tumpuan singkat walaupun terhadap perkara yang diminati
iii. kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang reaksi (blank) ketika orang lain bercakap dengannya
iv. sukar memahami konsep yang abstrak
v. mudah tertarik dengan bunyi-bunyi luaran ketika bercakap dengannya
vi. ada masalah dengan perkataan banyak makna
vii. bermasalah mengenal hubungan perkataan dengan idea
viii. kerap memberi jawapan yang tidak sesuai
ix. sukar mempelajari makna perkataan baru
x. bermasalah dalam urutan peristiwa (cth: hari dalam seminggu)
xi. Kerap mengulangi soalan daripada memberi jawapan kepada soalan
itu

Begitu juga dengan masalah bahasa pelahiran. Individu yang menghadapi masalah bahasa pelahiran juga akan menunjukkan ciri-ciri tingkah laku berikut;

i. seorang pendiam
ii. tidak mengambil bahagian dalam perbincangan kelas
iii. kerap salah menggunakan perkataan
iv. menggunakan perkataan dengan susunan yang salah dalam ayat
v. lesu dan tidak bersemangat ketika bercakap
vi. banyak menggunakan gerakan fizikal daripada ekspresi verbal
vii. tidak dapat mencari perkataan-perkataan untuk penerangan dalam perbualan atau menulis
viii. sentiasa menggunakan ayat-ayat pendek
ix. berjalan-jalan bila diajukan soalan atau mendengar cerita
x. menggunakan perkataan secara berlebihan untuk menjelaskan idea yang konkrit
xi. gagal memahami petunjuk (kiu) yang menandakan dia perlu berhenti bercakap
xii. sangat sukar mengingat

:Pendekatan interaktif atau komunikatif sangat berkesan untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa pelahiran atau bahasa penerimaan. Kanak-kanak ini perlu digalakkan berinteraksi sesama rakan sebaya mereka, dengan guru, dan ibu bapa dalam pelbagai situasi seperti ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, ketika melakukan aktiviti luar kelas seperti lawatan, permainan, dan sebagainya.

1.4 Rumusan

a. Bahasa merupakan alat omunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal.

b. Bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari) yang bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and that which is symbolized…”

c. Antara teori pemerolehan bahasa adalah Teori Behavioris atau Mekanis, Teori Mentalis atau Innatis, dan Teori Kognitif.

c. B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan
dengan keupayaan mempelajari bahasa melalui satu bentuk perlakuan
manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan
prinsip Teori Behavioris iaitu, Rangsangan tindak balas .

e. Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device).

f. Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya dan bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya.

g. Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dipengaruhi oleh perkembangan intelek, umur, pengaruh persekitaran, dan juga kematangan alat pertuturan.

h. Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri.

i. Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan.

j. Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem).

k. Sintaksis adalah unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem.

l. pragmatik adalah sebagai peraturan menggunakan bahasa dalam konteks. Manakala Prutting (1982) pula menganggap pragmatik sebagai kecekapan sosial.

m. Bahasa terdiri daripada bahasa penerimaan (receptive) dan bahasa pelahiran (expressive) yang terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Bahasa penerimaan merupakan keupayaan memahami input komunikasi bahasa manakala bahasa ekspresif pula melibatkan kemahiran menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk percakapan ataupun penulisan.

Saturday, May 16, 2009

PERDU BERNYAWA

(Dedikasi Untuk Para Guru)


Sekian banyak telah kau hidangkan juadah
Untuk tetamumu jamah kelazatan
Nikmat kehidupan di hari muka

Bermacam menu resepi
Kau cuba galas jejaki di muara ini
Pasangsurutnya umpama madumanisan

Tiada makna kegagalan dalam kamus hidupmu
Biar berombakbadai merawang saujana
Kegetiran lampias yang menimpa

Kau sampang hati anak-anak muda
Dengan butiran kasih-sayang
Menidurkan kegelisahannya semalaman

Kau benihkan kerawang hatinya
Dengan tawaduk keibuan syumul kebapaan
Merenjis kelopaknya nan berputik

Biar hidup subur bak bungaan
Harumannya disenangi dipuji-puja
Perdunya beranting bernyawa

Membias mentari menerangi
Melenakan warganya atas nikmat
Yang kaulimpahkan padanya guruku.

13/05/2009

Tuesday, May 12, 2009

CATATAN DI KUCHING SARAWAK

Berada di Kuching sehari dua ini dimanfaatkan sepenuhnya. Tertarik dengan keindahan panoramanya ketika mendarat di lapang terbang dahulu, tertawan dengan ketenangan bandarayanya yang tidak sesibuk KL. Walaupun datang kerana tugas, sempat juga berjalan-jalan sekitar Satok, Matang, malah berkesempatan bermain badminton dengan saudara Said, saudara di tanah Kuching ini. Sempat juga membeli ikan terubuk dan kek lapis kebanggaan orang di sini. Pengalaman sehari dua ini akan dikenang selamanya...

Monday, May 11, 2009

IHSAN RAKAN DARI BUMI KENYALANG

Kerana Wan Murni
Oleh
HAJAH AINAH BT JULHEE
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA KAMPUS SARAWAK, MIRI



Sesampai saja ke rumah, aku terus meluru naik ke bilik. Pantas sekali tanganku mencapai baju T dan seluar panjang. Baju seragam Puteri Islam segera kutanggalkan. Kubiarkkan baju tersebut terlonggok di situ. Aku menjadi semakin tidak sabar. Petang ini juga aku mesti mencari Wan Murni.

Roda basikal yang kukayuh seperti tidak mahu berpusing. Wan Murni yang berada di bakul basikal kelihatan gelisah dan resah. Suaranya menjerit-jerit. Semakin kuat jeritannya semakin kuat kayuhanku. Pantasnya kayuhan ku didorong oleh rasa amarah yang membengkak di hati. Kerana Wan Murni aku datang lambat, kerana Wan Murni aku dimarah oleh Ustazah Kamalia, kerana Wan Murni statusku sebagai Ketua Puteri dipandang rendah.

Seusai makan tengah hari, secepatnya aku mengemas meja makan. Petang ini ada perjumpaan Gerko Puteri Islam. Hari ini giliranku bertugas sebagai ketua Puteri. Aku akan pastikan aku sampai sebelum teman-teman lain sampai. Aku tak suka mendengar leteran Ustazah Kamalia yang pantang melihat ahli-ahlinya datang lewat. Leterannya menyakitkan telinga dan menyesakkan hati.

Remah-remah makanan yang sedikit bertabur di meja segera kulap. Lebihan sisa makanan di atas pinggan kusatukan dalam mangkuk basuhan tangan. Mataku melilau dan meliar. Kelibat nenek tidak kelihatan. Cepat-cepat aku melangkah membawa mangkuk remah menuju ke tong sampah. Baru saja tanganku menyentuh penutup tong sampah, terdengar suara menyapaku.
“Alyaa..jangan buang remah makanan tu. Tak elok membazir.” Nenek mendekatiku lalu memegang tanganku.

“Alaa..nek, inikan sisa makanan. Bukannya boleh disimpan pun.”
“Sisa makanan ni Alyaa boleh bagi Wan. Hari ini nenek belum bagi lagi Wan makan. Wan dan anak-anaknya merayau entah ke mana”.
“Malam nanti lah Alya bagi Wan makan. Alya nak cepat nek,kalau lambat nanti Ustazah mesti marah,” aku memprotes.

Melihat mata nenek membulat memandangku, secepat kilat langkahku berpusing menuju ke belakang. Aku sudah pasti akibatnya jika membantah nenek. Laporan secara langsung kepada ibu pasti akan berlaku. Padahnya aku akan menghadapi satu sesi soal jawab yang panjang bersama ibu.Biasanya sesi soal jawab itu akan diakhiri dengan leteran, bebelan ibu yang menyakitkan telinga. Lebih parah lagi jika aku didenda dengan mengurut seluruh badan nenek dengan minyak kelapa.
“Meow..meow..” suara nenek memanggil Wan Murni. Wan Murni tak kelihatan di mana-mana. Aku melirik jam di tangan. Cuma ada sepuluh minit lagi tempoh untuk ku bersiap.
“Meow…meow..” Nenek terus memanggil namun Wan Murni dan anak-anak tetap tidak muncul. Aku semakin gelisah.
“Alyaa.., tolong cari Wan . Kesian Wan.. sehari-hari tak makan.”
“Hish..nenek ini sibuk betul. Pandailah Wan tu cari makan. Wan ini pun sama, dah tau time makan duduk sajalah, ini tidak, asyik merayap je.” Kata-kata itu hanya mendongkol di hatiku.
“Alya..!!!” mendengar nenek begitu aku melangkah keluar dengan hentakan kaki yang kuat. Kalau nada suara nenek meninggi begitu, aku tak ada pilihan.
Sejak kehadiran Wan Murni dalam keluarga kami, hidup aku rasa terseksa. Rutin hidupku juga berubah. Setiap petang pulang dari sekolah aku akan menyediakan makanan untuk Wan Murni. Seminggu sekali Wan Murni anak beranak akan dibersihkan, dimandi dan disyampoo. Tempat tidur Wan pun perlu dicuci. Kain lapiknya perlu dibasuh dan dijemur.
Sejak kehadiran Wan Murni ini sikap nenek juga berubah. Sibuk betul dia menguruskan Wan Murni anak beranak. Kalau terdengar suara Wan Murni asyik terjerit, tak kira siang malam, pasti dia sibuk untuk memastikan Wan Murni dalam keadaan baik. Dia akan mengangkat dan membelek-belek tubuh badan Wan Murni. Ada kalanya nenek akan bercakap-cakap atau membebel atau memberi nasihat kepada Wan Murni persis seperti apa yang dia lakukan kepada aku dan adik. Aku jadi pelik dengan perangai nenek, malah adakalanya meluat bila nenek berlebih-lebihan memanjai Wan Murni.
“Gong..!!gong..!! gong..!! salakan beberapa ekor anjing silih berganti memeranjatkan aku dan nenek. Aku segera berlari ke depan.
“Meow…!! meow…!!” suara Wan Murni seperti mendesis jelas. Bulu-bulu Wan Murni kelihatan menegak, punggungnya melebar, daun telinganya tertekap ke belakang .Perlakuan Wan Murni seperti mahu menyerang mangsa dan melindungi anak-anaknya. Anak-anak Wan Murni merengkok di bawah perut ibunya Tiga ekor anjing tersebut semakin mendekat pada Wan
Murni. Lidahnya terjelir-jelir. Air liur menitik-nitik daripada mulutnya. Melihat situasi itu cukup mencemaskan aku. Secepat kilat tanganku mencekup anak-anak Wan Murni. Ku panjangkan langkah kakiku ke hadapan untuk menghalau anjing itu daripada menggigit anak-anak Wan Murni. Anjing-anjing itu terus menyalak sehinggalah aku mencapai seketul batu dan mengacah untuk membaling anjing-anjing itu. Akhirnya anjing-anjing tersebut berlalu dengan salakan yang memanjang.
“Meow…meow..” suara Wan Murni sedikit lemah. Nenek terus mengangkat Wan Murni dan membawanya ke belakang. Aku mengekor langkah nenek sambil menjinjit dua ekor waris Wan Murni ini. Segera ku letak kedua-duanya dalam pangkuan ibunya. Remah makanan yang terbiar sejak tadi terus ku masukkan dalam bekas yang disediakan untuk makanan Wan Murni. Wan Murni menggesel-geselkan kepalanya di kakiku. Kusegera berlalu.
Aku mengayuh basikalku sekuat tenaga.Aku ingin sampai segera. Ahli-ahli Puteri Islam semua sudah berada dalam barisan ketika aku meletakkan basikalku di tapak letak basikal Muka Ustazah masam mencuka memandangku.
“Berdiri di situ!, Kenapa lewat?” mendengar suara Ustazah yang tegang dan keras menjadikan aku hilang punca untuk menjawap. Hatiku sedikit kecut. Ustazah Kamalia ini garang dan tegas. Tiga puluh enam pasang mata ahli puteri Tigkatan Satu dan Tingkatan Dua yang berdiri dalam barisan semuanya menumpu kepadaku.
“Alya Husna..hari ini giliran kamu menjadi ketua Puteri, sepatutnya awak datang lebih awal. Awak lihat jam sekarang, sepuluh minit awak terlewat. Awak lewat, semua ahli juga akan terlewat kerana menunggu awak untuk memulakan arahan dan tugasan.”
“Saya minta maaf Ustazah. Lain kali saya pastikan saya akan datang awal.” Aku menjawab perlahan.
“Kenapa datang lambat?” Sekali lagi ustazah mengulang soalannya.
“Saya terpaksa tolong nenek mencari Wan Murni yang hilang. Wan Murni anak beranak hampir dimakan oleh anjing, Ustazah. Saya terpaksa menyelamatkannya.” Mata Ustazah merenungku tajam sebelum bertanya lanjut..
“Siapa Wan Murni?”
“ Kucing nenek,” jawapan pendekku dibalas dengan suara tawa daripada sebahagian besar ahli puteri yang sedang berbaris. Entah kenapa mereka ketawa,mungkinkah nama kucingku lucu atau bagi mereka alasanku tidak masuk akal..Ustazah memandang mukaku dengan pandangan yang tajam.
“Betul kucing?” Ustazah seperti tidak mempercayaiku. Aku hanya mengangguk. Akhirnya Ustazah meminta aku masuk di barisan belakang. Hari ini Ustazah Kamalia masam mencuka memandangku. Mungkin dia masih tidak senang dengan kelewatanku atau dia sukar percaya alasanku. Rakan-rakan lain pun ada yang mencebik kepadaku kerana aku lewat, rakan-rakan lain terpaksa balik lewat kerana perjumpaan Gerko lewat dimulakan gara-gara menunggu kehadiranku. Di hatiku pula timbul rasa geram.
“Awas kau Wan Murni…keranamu semua orang marah padaku. Jaga kau Wan Murni..aku akan buat perhitungan nanti..!” Hatiku mendongkol marah. Darjah rasa amarahku pada Wan Murni menjadi meningkat bila teringat miggu lepas tali kasutku terputus digigitnya. Akibatnya aku juga terlewat masuk kelas. Bila mengadu kepada ibu, aku tetap salah di mata ibu kerana cuai meletakkan kasut sekolahku bukan pada tempatnya dan tidak bersedia dengan lebih awal.
Menghampiri kawasan pantai, kayuhanku mula perlahan. Wan Murni anak beranak dalam bakul basikalku juga semakin gelisah. Mereka seolah-olah berebut-rebut hendak keluar. Plastik hitam yang menghimpunkan mereka tiga beranak dibakul basikal itu mula dicakar-cakar.
“Wan Murni!!” aku separuh menjerit bila Wan Murni mula mengeluarkan kakinya dan menjengulkan kepalanya daripada bakul basikalku. Pergerakan Wan Murni terhenti mendengar suaraku.
Melihat Wan Murni duduk begitu, aku mula teringat dengan Cikgu Wan Suhaimi. Cikgu Wan Suhaimi bekas jiran kami yang telah berpindah ke Semenanjung enam bulan yang lalu. Cikgu Wan Suhaimi sekeluarga, jiran kami yang baik hati itu berpindah kerana kontrak perkhidmatanya telah tamat di Sarawak.
Sebelum berpindah Cikgu Wan telah meminta aku untuk membela kucingya yang berbulu putih berbelang kuning dengan ekor yang kontot. Bulunya yang lebat dan panjang memang menjadikan kucing itu kelihatan comel dan montel Apa tah lagi matanya yang hijau bersinar. Sebelum aku memberi persetujuan atas permintaan Cikgu Wan itu, ternyata nenek terlebih dahulu menyatakan hasratnya untuk memelihara kucing itu. Sebelum inipun kucing tersebut sering bertandang ke rumah kami dan bermain-main dengan nenek.
Mula-mula kehadirannya adikku rasa gembira dan seronok.
“Nak panggil nama apa kucing ni?” Adik bertanya kepada nenek.
“Panggil sajalah si Putih.”
“Tak bestlah nek. Nampak macam nama kucing je. Bagilah nama glamor sikit”. Adik terus meningkah.
“Dah..memangnya kucingpun”.
“Kita panggil kucing ni Cikgu Wan, macam nama tuan dia.” Adik memberi cadangan. Aku tak setuju dengan cadangan adik. Tak baik menyamakan nama jiran dengan nama kucing.
“Hish tak elok macam tu..”nenek membantah.
“Kita panggil Wan Murni, gabungan nama cikgu Wan dan nenek”. Aku mencelah. Adik ketawa suka. Ibu yang sedang menggosok ekor kucing, segera mencubitku lenganku.
“Tak elok buat nama nenek macam tu”. Ibu membantah.
“Hah, bagus juga nama macam tu.” Tak sangka nenek setuju pula.
“Elok juga nama tu supaya nanti, Alyaa dengan Anisa akan sentiasa ingat bahawa mengasihi binatang itu suatu perbuatan yang murni. Lagipun mengasihi dan memelihara kucing ni besar pahalanya tau. Kucing ni merupakan antara binatang kesayangan nabi. Satu lagi, bila kamu panggil nama kucing ni Wan Murni, kamu berdua akan selalu ingat nenek. “ Wah..tak sangka cadangan ku dapat dirasionalkan nenek dengan baik sekali. Sejak hari itu melekatlah nama Wan Murni pada kucing bermata hijau ini.
Aku memilih kawasan yang sesuai. Akhirnya aku meletakkan basikalku di bawah pokok ru yang besar. Kurasa tempat sangat selamat untuk Wan Murni dan anak-anaknya, lagipun kawasan ini merupakan kawasan tempat perteduhan orang-orang bersantai di pantai ini. Aku pasti Wan Murni tidak akan kelaparan di sini kerana merata-rata sisa makanan yang boleh dikutipnya. Segera kukeluarkan Wan Murni dari bakul basikalku. Kuletakkan Wan Murni dan anak-anaknya di bawah pokok bersama dengan sebekas whiskas sebagai bekalan makanannya.
Lega rasanya dapat melepaskan Wan Murni tanpa diketahui oleh sesiapapun ahli dalam rumahku.
Sudah tiga hari aku mendengar nenek berleter, merungut tentang ketiadaan Wan Murni. Sudah tiga hari juga aku jenuh menjawab soalan nenek dengan jawapan ‘tidak tahu’ bila nenek bertanya tentang Wan Murni. Anisa dan ibu juga mencari-cari ketiadaan Wan Murni. Aku hanya berdiam menyimpan rahsia. Ibu dan nenek berterusan memujukku supaya membantu mencari Wan Murni. Sehingga ibu dan nenek berjanji akan memberi ganjaran untuk membelikan basikal baru untukku jika aku berjaya menemukan Wan Murni dan anak-anaknya.
Wah, satu ganjaran yang cukup baik kerana basikalku juga sudah uzur. Petang inipun basikalku tak boleh diguna kerana tayarnya pecah. Aku terpaksa menumpang papa untuk perjumpaan Bola Jaring di sekolah. Aku tak suka menumpang kereta papa kerana papa biasanya akan turun ke pejabat lebih awal. Memikirkan semua itu, aku lantas memberi persetujuan dan berjanji untuk mencari Wan Murni. Aku menjanjikan kepastian Wan Murni akan kubawa pulang. Aku begitu yakin dengan janji tersebut. Nenek dan ibu tersenyum senang mendengar janjiku.
“Alyaa.., awak bersiap cepat. Papa tunggu awak dalam kereta sekarang”. Suara papa separuh memerintahku. Papa terus berlalu. Beberapa minit terdengar bunyi kereta dihidupkan. Aku menjadi kelam kabut mencari kasut sukanku. Segera kucapai kasut bila ia kelihatan terletak di atas almari kasut diluar itu. Kulabuhkan punggungku di bibir lantai car.porch. Aku menundukkan kepala dan sedikit membongkok untuk mengikat tali kasutku dengan gopoh. Terdengar bunyi kereta semakin jelas. Ku dongakkan sedikit mukaku, rupanya kereta sedang mengundur laju….
“Meoowww!!!!!”
Brreeerkkk!!!! Dump….!!!!
“Alyaaa!!!”
Mukaku terasa seperti disapu angin panas.Terasa pasir-pasir halus berterbangan hinggap di mukaku. Hahhh…aku terperanjat.
Belakang kereta papa hanya beberapa sentimeter saja jaraknya daripada mukaku. Aku terpaku seketika, dan tersedar apabila nenek memelukku dari belakang.
“Alyaa…” suara nenek lemah
Masyaallah…dihadapanku terlentang Wan Murni dengan berlumuran darah. Aku meluru ke arah Wan Murni yang sudah tidak berdaya. Papa segera menangkat tubuh Wan Murni yang longlai masuk ke dalam kereta. Aku tidak sedar rupanya nenek juga bersegera menyertai kami. Papa segera memandu kereta menuju ke Klinik Haiwan yang terletak di lembah Hijau.
Petang itu aku tidak dapat menahan rasa sebak di hati. Aku menangis bukan setakat teresak tapi mengongoi bila papa mengebumikan Wan Murni di bawah pokok mempelam di belakang rumah kami. Seribu satu rasa yang berhimpit dalam hatiku. Kerana Wan Murni menjadi penyebab aku selamat…

KOD BAHASA DALAM LAGU BAJAU

Bahasa adalah alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia yang lain. Manusia menggunakan bahasa untuk berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu, memberi arahan, dan sebagainya. Bahasa juga mencerminkan pemikiran, sikap, kebudayaan dan peradaban sesuatu bangsa. Dalam hubungannya dengan pemikiran ini, bahasa sebagai sistem perlambangan dapat mewujudkan butiran pemikiran yang dikemukakan oleh seseorang, misalnya oleh seorang pengarang, penyair mahupun oleh seorang penyanyi biasa. Lambang (kod bahasa) adalah pewujudan konsep atau makna yang terungkap menerusi karya yang dihasilkan.

Dalam hal ini, Arbaie Sujud (2006 :152) menjelaskan bahawa hakikat bahasa sebagai sistem lambang berperanan sebagai medium komunikatif, dengan mengambil pendapat Herman J. Waluyo (1987) untuk menjelaskan kesatuan wacana dan makna, iaitu di dalam sajak akan terungkap pemikiran dan perasaan penyair yang disampaikan melalui penggunaan lambang-lambang bahasa yang diterapkan dalam kata-kata, frasa ataupun kalimat.

Dalam hal ini, Arbaie Sujud mengambil pendapat Rolland Barthes (1980) yang menyatakan seseorang penyair dalam usahanya mengungkapkan pemikiran akan menerapkan kod bahasa bagi membantu pembaca menanggapi makna. Justeru, aplikasi penerapan kod bahasa dalam mencari makna adalah perlu, sama ada penerapan kod simbolik, kod budaya, kod hermeneutik (penafsiran), kod proairetik (perbuatan), dan kod semantik sebagaimana yang dinyatakan oleh Arbaie (2006: 153). Untuk tujuan ini, pengkaji akan membincangkan penerapan kod bahasa tersebut terhadap beberapa buah lagu Bajau, iaitu lagu “Zaman Adding”, “ Ayu Pulau Bajau”, “Mag Taubat”, “Sin Judi Embal Ahap”, “Mag Lami-Lami”, “Undangan Panyanyi”, dan lagu “Aku Anak Miskin”.


Analisis Perbincangan

Dalam lagu “Leleng Zaman Adding” oleh Habibul didapati wujudnya penerapan kod bahasa. Antara kod bahasa yang dikesani ialah kod proairetik. Menurut Arbaie (2006: 159) kod proairetik merupakan rentetan gerakan pemikiran penyair yang membentuk garis linear. Dalam lirik lagu tersebut didapati kod proairetik:

Jaman bitinaan tinauna si baran oh rayang
Amatuntul na halam saga anak danakan oh rayang

Ni dangan maka dangan
Sikut maka lawakan oh rayang
Embal na mag pandang-pandangan
Masoal kasusahan oh rayang
Angkanan na oh si baran
Maghinang pamintangan si Habibul si tuan
Ni miskin sampai rayahan
Kalu-kalu embal du isab pag laatan

Aigih bang si miskinan
Bang ma tahun bitinaan oh rayang
Embal na halgaan ma anak danakan oh rayang

Angkanan na oh si baran
Maghinang pamintangan si Habibul si tuan
Ni miskin sampai rayahan
Kalu-kalu embal du isab pag laatan

Aigih bang si miskinan
Bang ma tahun bitinaan oh rayang
Embal na halgaan ma anak danakan oh rayang

Justeru, pemikiran yang digambarkan secara linear ini, tidak dapat difahami jika khalayak hanya meneliti rangkap pertama mahupun rangkap kedua lagu. Oleh itu, pertautan antara rangkap demi rangkap adalah penting untuk memperoleh kesatuan makna yang tepat. Dari segi kod proairetiknya, penyanyi mampu menjelaskan kebimbangan penyanyi terhadap sikap tidak ambil peduli kaum keluarga, sama ada keluarga yang berada nun jauh, mahupun keluarga dekat terhadap penderitaan yang dialami oleh sesetengah ahli keluarga (penyanyi). Hal ini dikaitkan dengan kod budaya masyarakat Bajau yang pada asalnya saling bantu-membantu antara satu sama lain, ‘mag pandang-pandangan’ apabila berlakunya musibah atau kejadian buruk terhadap kaum keluarga, seperti yang digambarkan pada rangkap kedua dan ketiga. Selain itu, penyanyi memberi peringatan kepada golongan kaya dan dan golongan miskin dengan penggunaan diksi yang tepat dan mendayu-dayu agar masyarakat menyedari penderitaan tersebut pada rangkap ketiga dan keempat. Justeru pada rangkap kelima dan keenam penyanyi memberi pesanan, nasihat, malah peringatan ini agar tidak akan menimbulkan prasangka yang boleh menyebabkan pertengkaran. Apatah lagi, kebimbangan penyanyi yang menyedari dirinya pada masa (zaman) ini, sudah tidak berharga lagi akibat kemiskinan. Dalam lagu ini, terdapat juga kod simbol, iaitu tanda yang mempunyai hubungan, yang bersifat arbitrari tetapi tidak mempunyai perkaitan dengan peristiwa sebenarnya seperti yang ditegaskan oleh Arbaie Sujud (2006: 153). Dalam hal ini, kod simbol yang digunakan oleh penyanyi ialah ‘jaman’ (zaman), dan ‘rayang’ (orang yang disayang, iaitu masyarakat). Simbol ‘jaman’ dalam lagu menunjukkan sifat maju masyarakat, sementara ‘rayang’ merupakan kata sapaan yang bererti sikap masyarakat yang saling menyayangi saudaranya.

Selanjutnya, dalam lagu “Ayu Pulau Bajau” kod semantik digunakan untuk memahami kerinduan penyanyi terhadap kekasihnya yang sudah lama pergi meninggalkan dirinya. Justeru penyanyi bertanya seperti yang digambarkan pada rangkap pertama:

Mag tahun na lasa ku agentom ka’a
Ai baha lasa kalawakan nan mata
Lasa halam na ka madunnia
Ai lagi mag tahun tahunan toggol na
Oi lasa lil lal lil lil lal
Lil lal la boy lil lal lil lil lal…

Malah kod hermeneutik (pentafsiran) diperlukan untuk mentafsir makna tentang apakah yang menyebabkan orang yang disayangi berada nun jauh di sana? Timbul pertanyaan pada diri penyanyi, apakah orang yang disayangi sudah lama meninggal dunia lantaran sudah bertahun-tahun hilang dari pandangan mata, sehingga diri penyanyi terasa pencarian itu sudah tiba ke penghujungnya, dan akhirnya penyanyi bertanya di manakah gerangan orang yang disayangi itu.

Lasa mag tahun-tahun naka
Mania na oi ma mata
Puas-puas na aku lasa miha ka’a
Lasa bangru maai na ka maingga
Oi dayang lil lal lil lal
Lil lal la oi li lal lil lil la…

Maitu lasa mareom dunnia
Sauga lasa peheuun na
Lasa bang pun kita
Lasa embal na mag anda’ mata
Embal duka isab hek ku tapilosa
Oi lasa lil lal lil lal..
Lil lal la oi li lal lil lil la…

Pada hemat penyanyi, orang yang disayangi itu tentu berada di alam nyata, walau bagaimanapun biarlah dirinya tidak menemui kekasihnya itu. Namun orang tersayang itu tidak akan dilupakan begitu sahaja, seperti kata Habibul.
Maitu lasa mareom dunnia
Sauga lasa peheuun na
Lasa bang pun kita
Lasa embal na mag anda’ mata
Embal duka isab hek ku tapilosa
Oi lasa lil lal lil lal..
Lil lal la oi li lal lil lil la…
Angka nan na oi pahali-hal
Habibul oi otok Masri
Alaat duna pag suli-suli
Masi Habibul mag panyanyi
Padi-padi si merah padi….

Kod simbol dalam lagu ini ialah Kata Nama Habibul dan Masri, iaitu simbol yang menunjukkan diri penyanyi (Habibul) dan pemain keyboard (Masri).

Meneliti lagu “Kaallummanku” oleh Habibul, didapati bahawa penyanyi mengaitkan makna dengan kata, iaitu kata yang dipilih dapat mengungkapkan makna yang lebih khusus seperti yang dikatakan oleh Croce, B (1972) bahawa kata dapat menggambarkan seribu makna. Oleh itu penggunaan kata, “Bai sadja Masri ania, ma aku danda mahi lalla’, embal ku jo mag ongka’, hal atuli aku maluma’, Padi-padi si merah padi” dalam rangkap pertama memberi pengertian tentang persepsi tugas seorang penyanyi, yang wajar dihentikan jika isteri mahupun kekasih mempunyai pekerjaan bagi menanggung kehidupan mereka. Hal ini diakibatkan, penyanyi tidak ingin menerima akibat, kesan kerja menyanyi yang dikatakan kelak dimasukkan ke dalam neraka apabila meninggal dunia.

Siraka aku massa nala
Mag ampun pen tabiak
Ni manga a’a maka pakaleh
Tinauna aku masi manalka
Padi-padi si merah padi…

Oleh itu, kod semantik diperjelas pada rangkap seterusnya tentang keinginannya untuk berehat, dan disampaikannya kepada adik Masri. Dia tidak ingin menyanyi kecuali apabila ada majlis keramaian. Justeru, kod budaya yang diperlihatkan ialah majlis keramaian, atau majlis yang melibatkan kaum keluarga dan masyarakat yang dianggap sebagai kerja murni dan merupakan satu tanggungjawab sosial.

Angkan na oi pahali-hali
Habibul oi otok Masri
Alaat duna pag suli-suli
Masi Habibul mag panyanyi
Tabiak min mag lami-lami

Na buat ehek na suli min si
Habibul panyanyi salta ni lalla Masri
Oi kamemon pakale
Padi-padi si merah padi…

Siraka aku Masri anallak
Mag ampun peen tabiak
Ning manga a’a pakaleh
Tinauna na aku masi manalka
Padi-padi si merah padi…

Kod simbol “Padi-padi si merah padi” digunakan untuk menggambarkan suasana ketenangan, sesuai dengan irama dan melodi lagu “Padi-padi si merah padi” yang dipetik dari sebuah filem lakonan Allahyarham P. Ramlee.

Agak berbeza dengan lagu “Mag Taubat” kod simbol yang dikemukakan ialah sembahyang dan ulamak yang membawa konotasi yang baik. Sembahyang sebagai rukun Islam dan amalan umat Islam dapat mendidik masyarakat agar beriman dengan Allah Pencipta sekalian alam. Begitu juga dengan golongan ulama yang dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. digunakan. Dalam menggunakan kod simbol tersebut, seolah-olah penyanyi menggambarkan sikap masyarakat, yang mengamalkan suruhan Allah tersebut. Kod budaya juga dapat dilihat menerusi sindiran sinis Habibul terhadap sikap masyarakat yang melakukan amal ibadat seperti sembahyang lima waktu, tetapi masih melakukan amalan kejahatan seperti yang diselar oleh Habibul:

Aina guna lasa mag sambahayang
Bang embal du lasa kabogbogan
Lasa tabiak man kasehekan
Kalaatan du pinaghinang

Heka na bai mag alim ulamak
Kahekaanna mag laka-laka
Mag ampun peen isab tabiak
Bang si baran itu I asak

Minsan na kita mag sambahayang
Bang lasa karupangan du ni hinang
Tabiak isab min kasehekan
Sayang sadja hukuman tuhan

Dari segi kod semantiknya, penyanyi menyatakan sikap berpura-pura masyarakat yang menjadi alim, tetapi amalan itu semata-mata untuk menunjuk kepada orang lain. Oleh itu, penyanyi mengajak kita supaya mengingati hukuman Allah sebagai benteng daripada melakukan kejahatan. Akhir sekali, penyanyi mengingatkan bahawa tiada maknanya kita bertaubat sekiranya kejahatan dan dosa juga yang dilakukan.

Lahaula lasa bai na hinang ta
Angai isab embalm bogbogan ta
Na bang ni beyak hukuman Allah
Aniksak ma baran ta

Suli-suli itu I min si baran
Pina sampai ni kamemon anak danakan
Salta na ni paminat kaginisan
Oi ni kasehekan…

Sayang sadja kita lasa mag taubat
Bang dusa du dusa embal apuas
Bang konok kita nu alaat
Yana baranta patannaan sasat

Suli itu pina saplag ni paminat
Oi..min kami pati lahat
Sai-sai lahik embal meyak mag taubat
Piun na lasa kita rua sadja takka

Seterusnya lagu “Sin Judi Embal Ahap” oleh Habibul membawakan kod semantik yang jelas, iaitu memaparkan bagaimana wang dapat memenuhi segala kehendak manusia. Pada hemat penyanyi sekiranya wang yang diperoleh dari sumber yang halal, bolehlah dibelanjakan membeli keperluan harian. Sebaliknya, penyanyi menyatakan sekiranya wang hasil judi digunakan, banyak musibah yang akan diterima oleh seseorang. Misalnya seseorang yang mengerjakan dan menunaikan ibadat haji dengan menggunakan wang hasil judi telah bertukar menjadi seekor khinzir.

A heka a’a bilahi
Bang sin ahap pag lagi-lagi
Hek banan kaum pamili
OK..bang pag lami-lami

Minsan itu rikayu panyanyi
Bang sin ahap pag lagi-lagi
Salta pamilli-milli
Tattap na eyaah bilahi

Sah bang konok sin judi
A’a embal bilahi
Ganta bang pamilli-milli
Hebaanan kaum pamili

Angkanan na konok si lalla panyanyi
Embal na yama sakali-kali
Ganta ni lagi-lagi
Maka sin embal OK..

Oi si lalla panyanyi
Ania sin paling-paling pagbilli STC (Sandakan Turf Club)
Embal hek na pag lagi
Lahaula sampai mag naik haji

Iya konok bang sin judi
Oi embal iya sekali-kali
Oi maka kale iya bai istori
Ania na konok bai mastal jadi
Na bok konok
Nia saga suli-suli
Hekana konok saga jadi bawi
Angkan mindilu na kok si lalla panyanyi
Embal na iya bialahi bang sin embal okey

Dalam lagu ini, kod simbol ‘Sin Judi’ , ‘STC’, di samping ‘Bawi (khinzir)’ menggambarkan budaya masyarakat yang melibatkan diri dengan perbuatan yang dilarang di sisi agama Islam. Oleh itu, simbol ini berkaitan dengan kod budaya masyarakat, di samping kod proairetiknya memperingatkan agar mereka berwaspada, malah senantiasa berbuat baik.

Sementara lagu “Mag Lami-lami” oleh Habibul, mengemukakan kod semantik yang menyatakan kesediaan penyanyi untuk menyanyi dalam majlis memeriahkan ahli keluarga. Kod budaya diperlihatkan apabila penyanyi berharap agar kaum perempuan sanggup bersama-samanya memeriahkan majlis tersebut dengan menyumbang tarian igal-igal. Penyanyi sebak dan berasa terhutang budi dengan kesediaan kaum perempuan untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Mareom aku mag panyanyi
Ni kaum pamili
Akun mag lami-lami
Sangom-sangom hek hei…
Sumping ku sumping Sumping sulasi
Sumping kailu landu’ naganda’ ma lami-lami

Sampai na oi isab ma sangom iti
Lae-lae pakale-kale
Oi lahila ma lami-lami
Anganda’ na panari
Sumping ku sumping sumping jo wanni
Kailu ru sab ania taboa pag sagu hati

Embal aku ba pahali-hali
Angongkak oi mag panyanyi
Dayang ku sangom iti

Da’a peen ka dayang a tuli
Sumping ku sumping sumping wanni
Sumping landu kailu bang isab ka bilahi

Sangom iti mag panyanyi
Mareom aku mag lami-lami
Oh..aku lahila mag panyanyi
Ni ba anan kaum pamili
Sumping ku sumping sumping sulasi
Sumping landu’ kairu maka si Masrie

Habibul menggunakan kod simbol “Sumping ku sumping Sumping sulasi, Sumping kailu landu’ naganda’ ma lami-lami” yang membawa makna kuntuman bunga yang mekar dan harum dalam masyarakat, dan menjadi sebahagian daripada kod budaya masyarakat Bajau.

Selain itu, dalam lagu “Undangan Panyanyi” Habibul mengungkapkan kod budaya masyarakat Bajau, iaitu majlis perkahwinan, yang antara lain adanya acara undangan menyanyi. Dari segi kod semantiknya, Habibul berharap dia tidak dundang ketika dirinya berasa tidak tenteram menyumbang lagu. Penyanyi berasa bimbang dirinya tidak dapat membuat persembahan yang baik kepada kaum keluarga pada masa tersebut. Justeru, untuk tidak menghampakan permintaan keluarga, ada baik dirinya tidak dijemput untuk membuat persembahan pada majlis tersebut kerana keadaan emosinya yang terganggu. Malah Habibul menggunakan diksi yang mudah untuk menyatakan maknanya, sebagaimana yang dinyatakan oleh A. Wahab Ali (Arbaie, 2006: 157) yang menjelaskan bahawa seseorang penyair perlu mempermudah jalinan komunikasinya dengan khalayak bukan menyeliratkan pemahaman sehingga menghasilkan kekaburan.

Angundang da’a magundang
Bang panyanyi embal asannang
Mareom pagkawinan jari silap kalangan
Lahila saga anak danakan
Jari silap kalangan lahila saga anak danakan..

Panyanyi lahila angalang
Oi ma mag pakawinan
Embal alang-alang lahila mas tuan
Oi bang angongkak na mag pasandingan
Embal alang-alang bang ilu na pag pasandingan

Bang atai embal asannang
Panyanyi si baran
Ma pag kawinan lahaula anak danakan
Nia dui sab kok ilu maka susahan
Lahila bang panyanyi embal asannang
Ania du isab kok ha maka susahan

Atai panyanyi embal asannang
Gundang embal asannang
Oh saga anak danakan
Atau pangundang embal a tannang
A meyak du panyanyi mag kasusahan
Bang angundang embal a tannang
A meyak du panyanyi embal a tannang

Lagu terakhir yang dikaji ialah lagu “Aku Anak Miskin” oleh Habibul. Lagu yang memaparkan kod sematik, iaitu percintaan antara dua darjat (umpama langit dan bumi), iaitu antara anak orang miskin dengan orang kaya. Malah kedaifan diri tidak menghalang ketulusan cintanya kepada kekasih hati. Malah kenangan indah bersama kekasih hati itu sentiasa mekar dan mengganggu kehidupan hariannya. Justeru, penyanyi meminta kepastian kekasihnya itu jika masih mencintai dirinya.
Langit maka tanah embal a nantang
Kaa anak dayahan aku anak miskin
Pinandang maka hansul ni enda’ maka asek
Pakaian larak-larak pinag pakai

Halam alai halta pangang ganti’
Hal du lasaku maka a maka janji
Dayang entomun satoggolku alum lagi
Sapahanku ni tuhan hal du ka’a atai ku potek

Sagarin bang ta entomku
Waktu bang ka gapusku pagsiumku baihuknu
Pag sapu ku buun nu
pikilan embal anattap bang ka ta sibahat
pagkakan embal ahap hal du ka’a mareom liyag

sagarin bang taentomku
waktu bang ka siumku
pagsiumku baihuknu
pagsapuku buun nu
pikilan embal anattap bang ka ta sibahat
pagkakan embal ahap hal du ka’a mareom liyag

dayang subai aku hakaan nu
bang masih gik kalasahan nu
dayang hakainna itu aku
bohok ka ta onanku dayang lasanu
bohok ka ta onanku dayang lasaku…

Dalam lagu ini, penyanyi menggunakan kod simbol “Tuhan” sebagai tanda kepatuhan dan kesetiaan terhadap kekasih, sebagai satu ikatan janji. Malah kod budaya yang mementingkan darjat turut diperlihatkan dalam lagu ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan kod semantik yang digunakan terutama dalam pemaparan kasih dan cintanya yang begitu mudah, terutama dalam pemilihan diksi bersesuaian dengan pendapat Rene Wellek (Arbaie, 2006: 157) yang menyatakan penggunaan bahasa denotatif adalah bahasa yang menuju kepada koresponden satu lawan satu antara tanda (kata itu) dengan (hal) yang dituju memudahkan pemahaman masyarakat Bajau dari segi semantiknya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan terhadap lagu Bajau yang dikaji, didapati bahawa terdapatnya penerapan kod bahasa untuk mengungkapkan pemikiran penyanyi. Malah dalam penerapan kod bahasa tersebut, didapati wujudnya saling pertautan antara kod-kod bahasa yang akhirnya menjelmakan pemikiran penyair yang mempunyai tujuan dan fungsi sebagaimana yang diperteguhkan oleh Arbaie Sujud (2006: 165) dan ditegaskan oleh Raymond Chapman (1973) bahawa penerapan kod bahasa itu bukanlah suatu pengolahan spontan yang sewenang-wenangnya tetapi mempunyai tujuan dan fungsi tertentu.

Rujukan

A. Wahab Ali. Imej Manusia dalam Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Abdul Nasir Paisal. BBK 5401 Pendokumentasian Naskhah Melayu: Nyanyian Rakyat Bahasa Bajau. Unit Pendokumentasian Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, 2005

Arba’ie Sujud. Teknik Pengungkapan Sajak. Shah Alam Selangor: Maya Press, 2006.

Arbak Othman. Semiotik dalam Penelitian Puisi. Seri Kembangan: Citra Kurnia Enterprise.

Asmah Haji Omar. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

ADAKAH PEMUISI KINI MENCAPAI KE TAHAP HAMZAH FANSURI

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut tentang pemuisi masa kini, adalah wajar diperkatakan tentang Hamzah Fansuri sebagai model dan kayu ukur pemuisi-pemuisi masa kini.

Hamzah Fansuri tergolong antara para perintis jalan baru. Kemunculan karya-karyanya menandakan kelahiran puisi Melayu klasik. Ini tidak bermakna sebelumnya rakyat Melayu sama sekali tidak pernah menghasilkan puisi, misalnya dengan adanya folklore. Walau bagaimanapun Hamzahlah yang memulakan puisi Melayu klasik yang bertulis sebagai sesuatu yang nyata. Oleh sebab Hamzah ialah seorang muslim yang amat bertakwa, yang disanjungnya ialah al-Khalik (bermakna dalam tulisannya menyanjung Allah) yang mencipta alam semesta dan menentukan takdirnya sambil mengimbangi penulisannya dengan hikmah dan keadilan-Nya. Dia ialah ahli tasawuf, seorang yang zahid dan mistik yang mencari penyatuan dengan al-khalik dan menemui di jalan Isyk, iaitu kasih, di samping mencintai Tuhan dan insan dengan menitikberatkan bahawa bukan sahaja manusia, tetapi isi alam yang bernyawa merupakan saudara sekandung seorang sufi.

Dalam kajian ini, pemuisi masa kini yang dikaji ialah Kemala, Nahmar Jamil dan Emha Ainun Nadjib. Walau bagaimanapun fokus perbincangan banyak ditumpukan kepada Kemala, oleh sebab keprolifikannya terhadap puisi berunsur Islam, serta Nahmar Jamil dan Emha Ainun Nadjib secara sepintas lalu kerana turut membicarakan puisi-puisi ketuhanan.

Perbincangan

Kemala dalam puisi-puisinya telah berjaya mengungkapkan bibit-bibit kerinduan kepada Allah dengan berbagai-bagai cara yang dikesani oleh inderanya dalam berbagai-bagai suasana penuh kesunyian dan ketenangan. Kemala lebih akrab melihat persoalan diri dengan menyamakan sifat-sifat mahmudah dalam diri dengan sifat-sifat Allah S.W.T. dan menyaring sifat-sifat mazmumah yang lebih akur dengan sifat-sifat iblis dan syaitan.

Keakraban dalam diri bukan sekadar merealisasikan asal usul diri. Kemala menyalurkan kerinduan dengan penuh syahdu melalui detik-detik yang halus dan kudus, malah banyak yang tersirat dalam babak sejarah yang dihasilkannya. Di dalam sajaknya “Di hadapan al-Quran” peristiwa melafazkan ayat-ayat suci dalam waktu yang tenang sesudah Maghrib duduk bertimpuh penuh kesopanan, diiringi dengan titisan air mata kerana terkenangkan keagungan Ilahi dan kebesaran Allah yang menjanjikan syurga, iaitu keindahan abadi. Peristiwa, detik dan gerak hati itu membangkitkan rasa rindu dan haus kasih sayang yang abadi:

hauskan rindu Utama
menepuk kalbuku
halus dan kudus
tumbuh untuk mantap satu waktu.



Kerinduannya lebih ketara dalam sajak Kemala “R itu Rindu”, Kerinduan yang “tak terduga hadirnya, tak terselam maknanya”, “tak terhambat tibanya, tak terbebat lukanya”, “tak terhempang arusnya, tak terhalang datangnya”, “tak tertepis gerimisnya, tak tertampan manisnya” itu tumbuh di kala jauh beribu-ribu batu dari mereka yang disayangi tetapi yang disayangi itu hanya simbol-simbol semata kerana puncak kerinduan adalah Allah s.w.t.

Kerinduan akan datang bersama kesepian dalam kebisingan, kesunyian dan kehiruk-pikukan kota; baik di mana sahaja seperti di Sungai Yarra, Melbourne, Canberra ataupun di Cameron Highlands yang seal “cikcok dan ratracenya”. Kerinduan itu menjelma juga di mana-mana keadaan dan ketika diri sendiri mengenal diri sendiri, tahu asal-usul kejadiannya, tahu arah tujuan perjalanannya kerana bukankah dengan mengenal diri itu juga mengenal Allah? Kemala mengungkap kerinduan ini dengan berbagai perkataan yang memberi makna yang jauh lebih bermakna seperti “bercumbulah dengan Tuhan” (Si Tua Sepi Sungai Yarra), “Mengenal diri” (Melayuku), “bertemu” (Taman), “Sampai” (Sampai), “Ke Roh Satu” (Sampai) “haribaan-Mu” (Subuh di Masjid Sa’adah Jakarta), “Membisikkan rindu” (Umar), “Tuhan Sudah kupenuhi Undangan-Mu” (di Kuala Pilah”, “Memeluk dada kekasih” (H. B. Jassin dan al-Quran), “Keindahan yang Satu” (Wujud), “Alangkah dalamnya makna sebuah percintaan, alangkah mahalnya makna sebuah perpisahan” (nenek), “Jauh-jauh kucumbu-Mu” (Di Sarawak), “Nama dan Cinta yang sempurna” (Cinta al- Farabi)

Semuanya menuju ke tahap kerinduan pada yang Maha Abadi. Ungkapan kata-kata yang menyalut bibit kerinduan ini ternyata tidak pula keseluruhannya menimbulkan ketenangan yang tidak ada tolok bandingnya. Di sana-sini terasa benar kegelisahan bagaikan berada dalam situasi yang tidak tenteram. Kebimbangan dan kekhuatiran meresap, bimbang jika yang dikesali itu tidak mendapat rahmat Ilahi. Malah khuatir tentang nasib anak isteri pada masa depan. Apakah yang dikasihi itu benar-benar menerima al- falah di kemudian hari. Hati tidak tenang kerana dalam kemabukan kerinduan ingin “bercumbu dengan Tuhan” ada lagi cabaran-cabaran yang sentiasa menanti detik-detik bertujuan untuk memusnahkan kerinduan dan kehausan itu.

Kemala mengungkapkan detik-detik sejarah itu dengan mewarnai kembali watak-watak iblis, Syaitan, Abu Jahal, mengingati lagi “kerdil kurus rohaniah dan lumut nafsu” (Sajak untuk Pon Mariam), menghidupkan semula “Abi Lahab, Abi Lahab pak cik cungkil semula kelaknatan “Firaun zalim mengakui dirinya Tuhan (Pedaya) dan setiap pedaya Iblis “mengelabui Abi Lahab” “Menggoda Abrahah”, “mempesona Zulaikha”, “melingkari Bani Israel”, “merantai kaum Iram, ‘Ad dan Thamud”, “menyerapi Habil dan Qabil”, pedaya umat Nuh menolak undangan ke bahtera”, “umat Lot anti wanita”, “Hawa menelan Khuldi” dan sebagainya.

Dalam “Lagu Cinta Ainal Adnin”, Kemala mengungkapkannya dengan kata-kata:
belajar iktibar dan tamsil
bagi menepisi helah angkara Sang Iblis

Tergucur darah dadanya
bagai darah Husin di Qurbala

Cucur keringat di gurun ngeri
bagai Al-Amin dijejaki Quraisy.

bumi ini kancah panas penduga iman Masyita
laut ini taman bagi bahtera Nuh
Nil ini gelombang sombong penggulung Firaun angkuh

Dunia ini penjara.


Dalam “Yusuf” Kemala menyoal:


Ah, Yusuf yang salih, yang putih hatinya
di hadapan godaan Zulaikha kini
angin sepoi atau hempasan badai?
apakah ini tilam empuk
atau ranjau berduri?

Begitu juga dalam “Cakrawala” Kemala mengingatkan:

Ria’ ‘ujub, takbur bukan pakaianku.


Sementara dalam “Angkara” Kemala berbicara panjang:

Tentang angin muslihat
tentang badai kezaliman
tentang taufan penindasan
angkara keiblisan manusia tak mengenal kudrat Ilahi
begitu al-Mustaffa diduga hebat.


Kedurjanaan iblis yang sering melintasi perjalanan menuju tahap kerinduan, ataupun musuh-musuh yang menduga iman setiap detik, ataupun sifat-sifat riak, ujub dan takbur yang mudah diikuti oleh manusia, kerinduan dan kehausan yang berada atas rel ketakwaan dan keredaan Allah akan tetap menuju ke puncak untuk “menatap wajah Allah” di hari kemudian. Oleh itu ketewasan iblis diungkapkan oleh Kemala dalam “Bukti”

Nil bergulung bak gunung melipat Firaun dan tenteranya
Abi Lahab tersungkur oleh jeratnya sendiri
Abrahah terbakar hangus sebelum menjenguk Kaabah
Zulaikha alah oleh saksi bayi di buaian
Umat biadap Musa terkepung dalam kesesatan
Iram, Ad, Thamud hapus dari muka bumi
Habil dan Qabil berbunuhan kerana nafsu dan wanita
Umat Nuh dilipat banjir besar walau lari ke gunung
Umat Lot terkambus, doanya makbul
Terkubur di tujuh lapis bumi
Kebenaran tetap menyebelahi Mariam dan Aisyah
Manna wa Salwa bukti kerasulan Musa
Tujuh pemuda salih istirah tigaratus tahun di Kahfi
Adam dan Hawa tercamp[ak dari syurga Tuhan
Masyita dan Adawiyah menemukan wujud Ilahi yang abadi
(Kemala, 1983: 75)

Kerinduan dan cabaran, kecintaan dan dugaan ini sebenarnya adalah tindakan-tindakan manusia dalam hidupnya sesuai dengan ‘fitrah’, status dan tujuan hidup itu sendiri. Kemala merakamkan detik-detik tindakan menuju ke tahap kerinduan tertinggi.

Dalam sajak “Nama” Kemala merakamkan manusia sebagai khalifah Allah di bumi:

Waktu Adam dijadikan Allah
Ia diajar rahasia Nama
Waktu Allah meminta seluruh malaikat sujud
Sujudlah malaikat menjunjung perintah Rabbul ‘izzati
Kecuali Iblis yang pongah penyombong diri
“Aku dari cahaya
Adam dari tanah
Lebihlah daku
Tinggilah martabatku dari Adam!”

Murka Allah kepada Iblis tak terperi.
“Jika kau benar
katakan padaku rahasia Nama!”

Iblis termakan bicaranya sendiri
Apa yang hendak dikatakannya
Tentang nama? (Kemala, 1983: 73)


Adam a.s. yang dijadikan dari tanah dan kemudian ditiupkan roh Allah oleh Allah sendiri merupakan ciptaan yang agung. Kemudian apabila sempurnalah manusia, manusia diberi hak memilih. Dia diberinya hak memilih dengan kemudahan yang ada, baik pada dirinya, mahupun pada alam, sama ada merindukan wajah Allah, atau bersama Iblis di neraka buat selama-lamanya. Antara kemudahan pokok ialah ilmu pengetahuan yang di sini disebut Nama.

Kemala banyak merakamkan peristiwa-peristiwa sejarah berdasarkan sumber al-Quran. Dalam “Lagu Cinta Ainal Adnin” beberapa peristiwa sejarah, misalnya peristiwa Husin di Qurbala, bahtera Nabi Nuh a.s. Nabi Yusuf a.s. yang terlontar ke sumur, kisah Mariam dan sebagainya.

Dalam sajak “Yusuf” khususnya menceritakan muslihat Zulaikha untuk menggoda Yusuf tetapi Yusuf “yakin Tuhan itu satu, di sisinya selalu” Dalam sajak “Sulaiman” peristiwa kerajaan Nabi Sulaiman a.s. dengan istana Balqisy yang cantik dirakamkan sebagai ikhtibar untuk manusia bersyukur ke hadrat Allah s.w.t.

Kefahaman serta penghayatan tentang kebesaran-kebesaran Allah inilah menimbulkan hasrat untuk ingin senantiasa berada di sisi Allah, mematuhi segala suruhan-Nya, mencegah segala larangan-Nya. Kerinduan manusia kepada Allah memberikan banyak hikmah seperti yang digambarkan dalam puisi Kemala yang bertajuk “Rindu”:

rindu hamba kepada Tuhannya
rindu Musa kepada al- Khaliq
rindu Muhammad kepada Allah
rindu syuhada kepada jihadnya
rindu ibu kepada anaknya
rindu ‘abid kepada ibadahnya
rindu masyarakat kepada tanahairnya
rindu pemimpin kepada tanggungjawabnya
rindu Nabi kepada umatnya
rindu umat kepada Nabinya
rindu kekasih kepada kekasihnya
rindu sufi kepada Rabbuljalalah
rindu kitab kepada pembacanya
rindu insan kepada Tuhan... (Kemala, 1983: 81)

Pemuisi kedua yang dibicarakan karyanya ialah Nahmar Jamil, seorang pemuisi Islam yang turut membicarakan tentang ketuhanan, malah kebesaran Allah s.w.t pencipta sekalian alam. Misalnya dalam “Langit” , “Bumi” dan “Laut” menggambarkan kebesaran Allah yang tiada tolok bandingnya, sehingga manusia terasa begitu kerdil dengan keajaiban ciptaan maha agung itu:

Langit

Suatu ciptaan mengalahkan martabat keegoan insan
Suatu kemenangan apabila menakluknya dengan keiman

Bumi

Dimana sahaja kita berpijak adalah bumi Tuhan
Di mana sahaja kebatilan memuncak di sana rindu kesalihan

Laut

Laut itu dalam, lebih dalam kehidupan
Laut menemukan rahsia, kehidupan menemukan Tuhan

(Nahmar Jamil, 1990: 1)

Dalam “Umar bin al-Khattab” Nahmar Jamil menggambarkan sikap masyarakat yang sudah lupa sejarah dan pejuang Islam, malah sahabat baginda Rasulullah s.a.w. khalifah ar-Rasyidin ini adalah kekasih Allah dan mengenalinya wajar pada masa ini.

Sajak “Allah Jalla Jalalah”, “Al-Rasul al-Akzam” dan “Al-Quran al-Karim” pula membicarakan secara langsung zat dan kekasih-Nya. Misalnya, dalam “Allah Jalla Jalalah” diungkapkan khalik segala makhluk, Adam pun sujud khusyuk. Begitu juga dalam “Al-Rasul al-Akzam” kewujudan besar ummah memanifestasikan kebesaranmu, Rasul inilah salam salawat, cinta dan tangis daripadaku: wahai Rasul memberi pengertian yang jelas bahawa Rasul penyampai wahyu dan ajaran Allah s.w.t di muka bumi ini

Sementara “Al-Quran al-Karim” yang mengungkapkan rumah tanpa al-Quran: adalah hamparan gelap perkuburan, dengannya kita menghidupkan nur keriangan dan ketakwaan; iaitu yang bermaksud kitab suci al-Quran merupakan penyuluh hidup manusia, pemberi cahaya dan menanam keimanan dalam sanubari manusia. Malah jika manusia patuh akan perintah Allah, dengan berpandukan Al-Quran al- Karim “Budaya Tauhid” dapat diaflikasikan sebagaimana yang dituntut dalam ajaran agama Islam untuk beramal dan bersyukur kepada-Nya Justeru tidak ada apa yang dibimbangkan jika manusia mengikuti peraturan dan undang-undang, malah syariat Islam. Hal ini diungkapkannya dalam sajak “Apakah yang Ditakuti”

semua kita akan menghindari
apabila mendepani permasalahan umat
apakah yang ditakuti?
jika kebenaran menghadirkan wajahnya
jika akidah lebih berharga daripada nyawa

apakah yang ditakuti
jika manusia dilahirkan untuk kebenaran
jika akidah merosakkan kehidupan
jika Allah menjanjikan kemuliaan dan kemenangan?

apakah yang ditakuti
jika dunia ditakluki qadak dan takdir
jika akhlak dipertarungi khair dan syar
jika kita dipertanggungjawabkan amanah, bukan merebut ghanimah?

antara kita dua pilihan:
islam atau jahiliyah
mujahid atau munafik
baka atau fana

kita dituntut mendinamikkan keimanan
mematahkan keraguan
menyempurnakan kebangkitan
ya, apakah yang ditakuti
(Nahmar Jamil, 1990: 17)


Pemuisi ketiga yang dikaji ialah Emha Ainun Nadjib, iaitu seorang pemuisi keislaman di Jawa Timur, Indonesia. Sehubungan dengan itu juga, dua buah sajaknya yang berjudul “Negeri Tanpa Tuhan” dan “Takkan” akan digunakan sebagai bahan perbincangan.

Sajak-sajak Ainun Nadjib, terutamanya dua buah sajaknya yang dikaji amat berlainan sedikit dengan pendekatan yang digunakan oleh Kemala dan Nahmar Jamil dalam membawakan puisi bercorak keislaman, mahupun yang bertemakan ketuhanan.

Sajak “Negeri Tanpa Tuhan” menampilkan makna ganda, atau makna tersirat dan bukannya makna harafiah sebagaimana jika dibaca sekali imbas tanpa difahami terlebih dahulu maksudnya:
Kudambakan dunia tanpa tuhan
Bumi, matahari, tanah dan laut
Gunung-gunung, sungai, gelombang
Awan dan langit
Partikel dan magnet
Tanpa tuhan
Sebab buat apa tuhan, kalau tak juga
Ada kesetiaan
(Horison, 2003: 9)

Pada rangkap ini, Emha menggambarkan perlunya manusia menyemai kesetiaan kepada Tuhan, Tuhan pencipta sekalian alam, seperti bumi, matahari, tanah dan laut serta ciptaan yang lainnya. Malah manusia perlukan perdamaian di muka bumi ini:

Kumimpikan hanya ada benda-benda
Yang bernama batu, tikus, manusia
Batu tanpa tuhan, tikus tanpa tuhan
Sebagaimana manusia
Ketapel, kepala, ranting pohon
Tanpa tuhan
Sebab untuk apa tuhan, kalau yang berkuasa
Toh permusuhan

Begitu juga dengan rangkap ketiga, Emha menyeru agar Tuhan dimuliakan di negeri berdaulat yang dipenuhi dengan kemajuan:

Kuidamkan negeri tanpa tuhan
Pemerintahan tanpa tuhan
Gedung-gedung, kantor, meja kursi
Istana dan kantor kelurahan
Filsafat dan undang-undang
Tanpa tuhan
Sebab meskipun Tuhan sendiri tak kurang suatu apa
Tapi hatiku lemah mendengar ia diperintahkan


Pada rangkap akhir, Emha menyeru agar diwujudkan sebuah negeri yang berdaya maju, masyarakat yang menggunakan akal fikiran, bangsa yang celik, pemimpin yang bertanggungjawab, masyarakat bijak untuk memenuhi tanggungjawab terhadap Tuhan yang sejati:

Engkau Tuhan yang sejati
Tinggalkanlah negeri ini
Negeri badan tanpa ruh
Negara otak tanpa akal
Bangsa yang buta sehingga tak mengerti kegelapan
Pemimpin-pemimpin yang menjijikkan
Masyarakat yang bebal dan tak bisa ditolong
Rakyat yang andalannya hanya ketidakberdayaan.

Begitu juga dengan sajak “Takkan” oleh Emha mengandung makna yang bertentangan dengan makna harafiahnya. Persoalan tentang perlunya mencintai seperti yang dikehendaki oleh Allah untuk saling berkasih sayang:

Sudah kuputuskan untuk takkan membenci
Bukan hanya kerana kebencian tak sedikitpun ada rasa manisnya
Juga tak sekedar kerana kebencian membutuhkan seribu kali tenaga
Dibanding yang diperlukan cinta
Benar-benar sudah kuambil keputusan untuk takkan membenci
Terutama kerana amat sangat terlalu banyak hal di muka bumi ini
Yang tak bisa disentuh oleh apapun kecuali oleh rasa benci


Justeru, Emha menyarankan agar tindakan wajar dilakukan untuk membenteras perbuatan hina di kalangan masyarakat:


Sudah tak ragu lagi aku takkan meludahi
Bukan hanya kerana ludah itu aurat
Juga sekadar kerana sudah terlalu berlimpah jumlah perilaku
Yang tak sedikitpun ada martabatnya sehingga tak ada
Yang tepat dipersembahkan kepadanya kecuali diludahi
Sungguh-sungguh sudah tak boleh lagi aku untuk takkan meludahi
Terutama kerana jikapun kuludahi muka para pelaku kehinaan itu,
Mereka takkan pernah mengerti apa makna diludahi


Malah Emha, menyarankan masyarakat mengambil tindakan yang waras di negeri merdeka ini:

Sudah pasti takkan kubunuh, takkan kurakit bom, takkan kuhimpun
Massa untuk pemberontakan
Bukan hanya kerana tangan kotorku ini takkan kubiarkan menjadi
Lebih kotor lagi
Demi segala demi, takkan lagi pernah akan kusentuh kerendahan
Budi yang merajalela dan kebebalan akal yang usianya terlalu
Berkepanjangan itu
Terutama kerana kini aku sudah merdeka, dan bukan kelayakan
Hidupku lagi untuk menyelenggarakan kehancuran itu.
(Horison, 2003: 10


Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan terhadap ketiga-tiga pemuisi yang dikaji, pengkaji merumuskan beberapa perkara untuk menjelaskan persoalan, adakah pemuisi masa kini mencapai ke tahap Hamzah Fansuri seperti berikut.

1. Tema dan persoalan yang dibawa oleh ketiga-tiga pemuisi berkisar tentang ketuhanan sama seperti tema yang dikemukakan oleh Hamzah Fansuri, mahupun tokoh-tokoh sufi yang lain.
2. Kemala, Nahmar Jamil dan Emha menggarap temanya secara dasar tidak mendalam tentang zat-zatnya, tetapi Emha Ainun Nadjib yang mempunyai makna ganda atau makna yang tersirat untuk difahami.

Oleh itu, secara rumusannya untuk ketiga-tiga pemuisi ini pada hemat pengkaji masih lagi tidak mencapai tahap Hamzah Fansuri, Sonan Bonang atau tokoh-tokoh sufi yang lain.

Rujukan

Abdul Hadi W. M. Tasawuf Yang Tertindas. Jakarta: Paramadina, 2001.

Dwi Surya Atmaja. Konsep Ibn. Arabi Tentang Kenabian dan Aulia. Jakarta: PT RajaGrafindo Persada, 1999.

Emha Ainun Nadjib. Horison. XXXVI.8.2003: 6-10

Idries Shah. Mahkota Sufi. Surabaya: Risalah Gusti: 2000.

Kemala. Ayn. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.

Kemala. Pelabuhan Putih. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Mohd. Sulaiman Haji Yasin. Akhlak dan Tasawuf. Bangi, Selangor: Yayasan Salman, 1992.

Muhammad Abdul Wahhab. Himpunan Kisah-Kisah Misteri Para Wali Allah. Kuala Lumpur: Jasmin, 2002.

Nahmar Jamil. Titisan Hujan di Negeri Titisan Rindu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.

Sapardi Djoko Damono. “Mengagumi Jalaluddin Rumi”, Pelinggam. Panjimas, 16-29 Oktober 2002: 83-87.

Sheikh Othman Sheikh Salim (ed). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.

Labib Mz. Rahasia Kehidupan Orang Sufi. Surabaya: Bintang Usaha Jaya, 2002.