Monday, May 11, 2009

IHSAN RAKAN DARI BUMI KENYALANG

Kerana Wan Murni
Oleh
HAJAH AINAH BT JULHEE
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA KAMPUS SARAWAK, MIRI



Sesampai saja ke rumah, aku terus meluru naik ke bilik. Pantas sekali tanganku mencapai baju T dan seluar panjang. Baju seragam Puteri Islam segera kutanggalkan. Kubiarkkan baju tersebut terlonggok di situ. Aku menjadi semakin tidak sabar. Petang ini juga aku mesti mencari Wan Murni.

Roda basikal yang kukayuh seperti tidak mahu berpusing. Wan Murni yang berada di bakul basikal kelihatan gelisah dan resah. Suaranya menjerit-jerit. Semakin kuat jeritannya semakin kuat kayuhanku. Pantasnya kayuhan ku didorong oleh rasa amarah yang membengkak di hati. Kerana Wan Murni aku datang lambat, kerana Wan Murni aku dimarah oleh Ustazah Kamalia, kerana Wan Murni statusku sebagai Ketua Puteri dipandang rendah.

Seusai makan tengah hari, secepatnya aku mengemas meja makan. Petang ini ada perjumpaan Gerko Puteri Islam. Hari ini giliranku bertugas sebagai ketua Puteri. Aku akan pastikan aku sampai sebelum teman-teman lain sampai. Aku tak suka mendengar leteran Ustazah Kamalia yang pantang melihat ahli-ahlinya datang lewat. Leterannya menyakitkan telinga dan menyesakkan hati.

Remah-remah makanan yang sedikit bertabur di meja segera kulap. Lebihan sisa makanan di atas pinggan kusatukan dalam mangkuk basuhan tangan. Mataku melilau dan meliar. Kelibat nenek tidak kelihatan. Cepat-cepat aku melangkah membawa mangkuk remah menuju ke tong sampah. Baru saja tanganku menyentuh penutup tong sampah, terdengar suara menyapaku.
“Alyaa..jangan buang remah makanan tu. Tak elok membazir.” Nenek mendekatiku lalu memegang tanganku.

“Alaa..nek, inikan sisa makanan. Bukannya boleh disimpan pun.”
“Sisa makanan ni Alyaa boleh bagi Wan. Hari ini nenek belum bagi lagi Wan makan. Wan dan anak-anaknya merayau entah ke mana”.
“Malam nanti lah Alya bagi Wan makan. Alya nak cepat nek,kalau lambat nanti Ustazah mesti marah,” aku memprotes.

Melihat mata nenek membulat memandangku, secepat kilat langkahku berpusing menuju ke belakang. Aku sudah pasti akibatnya jika membantah nenek. Laporan secara langsung kepada ibu pasti akan berlaku. Padahnya aku akan menghadapi satu sesi soal jawab yang panjang bersama ibu.Biasanya sesi soal jawab itu akan diakhiri dengan leteran, bebelan ibu yang menyakitkan telinga. Lebih parah lagi jika aku didenda dengan mengurut seluruh badan nenek dengan minyak kelapa.
“Meow..meow..” suara nenek memanggil Wan Murni. Wan Murni tak kelihatan di mana-mana. Aku melirik jam di tangan. Cuma ada sepuluh minit lagi tempoh untuk ku bersiap.
“Meow…meow..” Nenek terus memanggil namun Wan Murni dan anak-anak tetap tidak muncul. Aku semakin gelisah.
“Alyaa.., tolong cari Wan . Kesian Wan.. sehari-hari tak makan.”
“Hish..nenek ini sibuk betul. Pandailah Wan tu cari makan. Wan ini pun sama, dah tau time makan duduk sajalah, ini tidak, asyik merayap je.” Kata-kata itu hanya mendongkol di hatiku.
“Alya..!!!” mendengar nenek begitu aku melangkah keluar dengan hentakan kaki yang kuat. Kalau nada suara nenek meninggi begitu, aku tak ada pilihan.
Sejak kehadiran Wan Murni dalam keluarga kami, hidup aku rasa terseksa. Rutin hidupku juga berubah. Setiap petang pulang dari sekolah aku akan menyediakan makanan untuk Wan Murni. Seminggu sekali Wan Murni anak beranak akan dibersihkan, dimandi dan disyampoo. Tempat tidur Wan pun perlu dicuci. Kain lapiknya perlu dibasuh dan dijemur.
Sejak kehadiran Wan Murni ini sikap nenek juga berubah. Sibuk betul dia menguruskan Wan Murni anak beranak. Kalau terdengar suara Wan Murni asyik terjerit, tak kira siang malam, pasti dia sibuk untuk memastikan Wan Murni dalam keadaan baik. Dia akan mengangkat dan membelek-belek tubuh badan Wan Murni. Ada kalanya nenek akan bercakap-cakap atau membebel atau memberi nasihat kepada Wan Murni persis seperti apa yang dia lakukan kepada aku dan adik. Aku jadi pelik dengan perangai nenek, malah adakalanya meluat bila nenek berlebih-lebihan memanjai Wan Murni.
“Gong..!!gong..!! gong..!! salakan beberapa ekor anjing silih berganti memeranjatkan aku dan nenek. Aku segera berlari ke depan.
“Meow…!! meow…!!” suara Wan Murni seperti mendesis jelas. Bulu-bulu Wan Murni kelihatan menegak, punggungnya melebar, daun telinganya tertekap ke belakang .Perlakuan Wan Murni seperti mahu menyerang mangsa dan melindungi anak-anaknya. Anak-anak Wan Murni merengkok di bawah perut ibunya Tiga ekor anjing tersebut semakin mendekat pada Wan
Murni. Lidahnya terjelir-jelir. Air liur menitik-nitik daripada mulutnya. Melihat situasi itu cukup mencemaskan aku. Secepat kilat tanganku mencekup anak-anak Wan Murni. Ku panjangkan langkah kakiku ke hadapan untuk menghalau anjing itu daripada menggigit anak-anak Wan Murni. Anjing-anjing itu terus menyalak sehinggalah aku mencapai seketul batu dan mengacah untuk membaling anjing-anjing itu. Akhirnya anjing-anjing tersebut berlalu dengan salakan yang memanjang.
“Meow…meow..” suara Wan Murni sedikit lemah. Nenek terus mengangkat Wan Murni dan membawanya ke belakang. Aku mengekor langkah nenek sambil menjinjit dua ekor waris Wan Murni ini. Segera ku letak kedua-duanya dalam pangkuan ibunya. Remah makanan yang terbiar sejak tadi terus ku masukkan dalam bekas yang disediakan untuk makanan Wan Murni. Wan Murni menggesel-geselkan kepalanya di kakiku. Kusegera berlalu.
Aku mengayuh basikalku sekuat tenaga.Aku ingin sampai segera. Ahli-ahli Puteri Islam semua sudah berada dalam barisan ketika aku meletakkan basikalku di tapak letak basikal Muka Ustazah masam mencuka memandangku.
“Berdiri di situ!, Kenapa lewat?” mendengar suara Ustazah yang tegang dan keras menjadikan aku hilang punca untuk menjawap. Hatiku sedikit kecut. Ustazah Kamalia ini garang dan tegas. Tiga puluh enam pasang mata ahli puteri Tigkatan Satu dan Tingkatan Dua yang berdiri dalam barisan semuanya menumpu kepadaku.
“Alya Husna..hari ini giliran kamu menjadi ketua Puteri, sepatutnya awak datang lebih awal. Awak lihat jam sekarang, sepuluh minit awak terlewat. Awak lewat, semua ahli juga akan terlewat kerana menunggu awak untuk memulakan arahan dan tugasan.”
“Saya minta maaf Ustazah. Lain kali saya pastikan saya akan datang awal.” Aku menjawab perlahan.
“Kenapa datang lambat?” Sekali lagi ustazah mengulang soalannya.
“Saya terpaksa tolong nenek mencari Wan Murni yang hilang. Wan Murni anak beranak hampir dimakan oleh anjing, Ustazah. Saya terpaksa menyelamatkannya.” Mata Ustazah merenungku tajam sebelum bertanya lanjut..
“Siapa Wan Murni?”
“ Kucing nenek,” jawapan pendekku dibalas dengan suara tawa daripada sebahagian besar ahli puteri yang sedang berbaris. Entah kenapa mereka ketawa,mungkinkah nama kucingku lucu atau bagi mereka alasanku tidak masuk akal..Ustazah memandang mukaku dengan pandangan yang tajam.
“Betul kucing?” Ustazah seperti tidak mempercayaiku. Aku hanya mengangguk. Akhirnya Ustazah meminta aku masuk di barisan belakang. Hari ini Ustazah Kamalia masam mencuka memandangku. Mungkin dia masih tidak senang dengan kelewatanku atau dia sukar percaya alasanku. Rakan-rakan lain pun ada yang mencebik kepadaku kerana aku lewat, rakan-rakan lain terpaksa balik lewat kerana perjumpaan Gerko lewat dimulakan gara-gara menunggu kehadiranku. Di hatiku pula timbul rasa geram.
“Awas kau Wan Murni…keranamu semua orang marah padaku. Jaga kau Wan Murni..aku akan buat perhitungan nanti..!” Hatiku mendongkol marah. Darjah rasa amarahku pada Wan Murni menjadi meningkat bila teringat miggu lepas tali kasutku terputus digigitnya. Akibatnya aku juga terlewat masuk kelas. Bila mengadu kepada ibu, aku tetap salah di mata ibu kerana cuai meletakkan kasut sekolahku bukan pada tempatnya dan tidak bersedia dengan lebih awal.
Menghampiri kawasan pantai, kayuhanku mula perlahan. Wan Murni anak beranak dalam bakul basikalku juga semakin gelisah. Mereka seolah-olah berebut-rebut hendak keluar. Plastik hitam yang menghimpunkan mereka tiga beranak dibakul basikal itu mula dicakar-cakar.
“Wan Murni!!” aku separuh menjerit bila Wan Murni mula mengeluarkan kakinya dan menjengulkan kepalanya daripada bakul basikalku. Pergerakan Wan Murni terhenti mendengar suaraku.
Melihat Wan Murni duduk begitu, aku mula teringat dengan Cikgu Wan Suhaimi. Cikgu Wan Suhaimi bekas jiran kami yang telah berpindah ke Semenanjung enam bulan yang lalu. Cikgu Wan Suhaimi sekeluarga, jiran kami yang baik hati itu berpindah kerana kontrak perkhidmatanya telah tamat di Sarawak.
Sebelum berpindah Cikgu Wan telah meminta aku untuk membela kucingya yang berbulu putih berbelang kuning dengan ekor yang kontot. Bulunya yang lebat dan panjang memang menjadikan kucing itu kelihatan comel dan montel Apa tah lagi matanya yang hijau bersinar. Sebelum aku memberi persetujuan atas permintaan Cikgu Wan itu, ternyata nenek terlebih dahulu menyatakan hasratnya untuk memelihara kucing itu. Sebelum inipun kucing tersebut sering bertandang ke rumah kami dan bermain-main dengan nenek.
Mula-mula kehadirannya adikku rasa gembira dan seronok.
“Nak panggil nama apa kucing ni?” Adik bertanya kepada nenek.
“Panggil sajalah si Putih.”
“Tak bestlah nek. Nampak macam nama kucing je. Bagilah nama glamor sikit”. Adik terus meningkah.
“Dah..memangnya kucingpun”.
“Kita panggil kucing ni Cikgu Wan, macam nama tuan dia.” Adik memberi cadangan. Aku tak setuju dengan cadangan adik. Tak baik menyamakan nama jiran dengan nama kucing.
“Hish tak elok macam tu..”nenek membantah.
“Kita panggil Wan Murni, gabungan nama cikgu Wan dan nenek”. Aku mencelah. Adik ketawa suka. Ibu yang sedang menggosok ekor kucing, segera mencubitku lenganku.
“Tak elok buat nama nenek macam tu”. Ibu membantah.
“Hah, bagus juga nama macam tu.” Tak sangka nenek setuju pula.
“Elok juga nama tu supaya nanti, Alyaa dengan Anisa akan sentiasa ingat bahawa mengasihi binatang itu suatu perbuatan yang murni. Lagipun mengasihi dan memelihara kucing ni besar pahalanya tau. Kucing ni merupakan antara binatang kesayangan nabi. Satu lagi, bila kamu panggil nama kucing ni Wan Murni, kamu berdua akan selalu ingat nenek. “ Wah..tak sangka cadangan ku dapat dirasionalkan nenek dengan baik sekali. Sejak hari itu melekatlah nama Wan Murni pada kucing bermata hijau ini.
Aku memilih kawasan yang sesuai. Akhirnya aku meletakkan basikalku di bawah pokok ru yang besar. Kurasa tempat sangat selamat untuk Wan Murni dan anak-anaknya, lagipun kawasan ini merupakan kawasan tempat perteduhan orang-orang bersantai di pantai ini. Aku pasti Wan Murni tidak akan kelaparan di sini kerana merata-rata sisa makanan yang boleh dikutipnya. Segera kukeluarkan Wan Murni dari bakul basikalku. Kuletakkan Wan Murni dan anak-anaknya di bawah pokok bersama dengan sebekas whiskas sebagai bekalan makanannya.
Lega rasanya dapat melepaskan Wan Murni tanpa diketahui oleh sesiapapun ahli dalam rumahku.
Sudah tiga hari aku mendengar nenek berleter, merungut tentang ketiadaan Wan Murni. Sudah tiga hari juga aku jenuh menjawab soalan nenek dengan jawapan ‘tidak tahu’ bila nenek bertanya tentang Wan Murni. Anisa dan ibu juga mencari-cari ketiadaan Wan Murni. Aku hanya berdiam menyimpan rahsia. Ibu dan nenek berterusan memujukku supaya membantu mencari Wan Murni. Sehingga ibu dan nenek berjanji akan memberi ganjaran untuk membelikan basikal baru untukku jika aku berjaya menemukan Wan Murni dan anak-anaknya.
Wah, satu ganjaran yang cukup baik kerana basikalku juga sudah uzur. Petang inipun basikalku tak boleh diguna kerana tayarnya pecah. Aku terpaksa menumpang papa untuk perjumpaan Bola Jaring di sekolah. Aku tak suka menumpang kereta papa kerana papa biasanya akan turun ke pejabat lebih awal. Memikirkan semua itu, aku lantas memberi persetujuan dan berjanji untuk mencari Wan Murni. Aku menjanjikan kepastian Wan Murni akan kubawa pulang. Aku begitu yakin dengan janji tersebut. Nenek dan ibu tersenyum senang mendengar janjiku.
“Alyaa.., awak bersiap cepat. Papa tunggu awak dalam kereta sekarang”. Suara papa separuh memerintahku. Papa terus berlalu. Beberapa minit terdengar bunyi kereta dihidupkan. Aku menjadi kelam kabut mencari kasut sukanku. Segera kucapai kasut bila ia kelihatan terletak di atas almari kasut diluar itu. Kulabuhkan punggungku di bibir lantai car.porch. Aku menundukkan kepala dan sedikit membongkok untuk mengikat tali kasutku dengan gopoh. Terdengar bunyi kereta semakin jelas. Ku dongakkan sedikit mukaku, rupanya kereta sedang mengundur laju….
“Meoowww!!!!!”
Brreeerkkk!!!! Dump….!!!!
“Alyaaa!!!”
Mukaku terasa seperti disapu angin panas.Terasa pasir-pasir halus berterbangan hinggap di mukaku. Hahhh…aku terperanjat.
Belakang kereta papa hanya beberapa sentimeter saja jaraknya daripada mukaku. Aku terpaku seketika, dan tersedar apabila nenek memelukku dari belakang.
“Alyaa…” suara nenek lemah
Masyaallah…dihadapanku terlentang Wan Murni dengan berlumuran darah. Aku meluru ke arah Wan Murni yang sudah tidak berdaya. Papa segera menangkat tubuh Wan Murni yang longlai masuk ke dalam kereta. Aku tidak sedar rupanya nenek juga bersegera menyertai kami. Papa segera memandu kereta menuju ke Klinik Haiwan yang terletak di lembah Hijau.
Petang itu aku tidak dapat menahan rasa sebak di hati. Aku menangis bukan setakat teresak tapi mengongoi bila papa mengebumikan Wan Murni di bawah pokok mempelam di belakang rumah kami. Seribu satu rasa yang berhimpit dalam hatiku. Kerana Wan Murni menjadi penyebab aku selamat…

No comments:

Post a Comment